Kemahiran dan Seni Dalam Dakwah

Kemampuan untuk menguasai orang lain adalah suatu keperluan yang dapat melengkapkan keperibadian pendukung dakwah dan salah satu keperluan di jalan dakwah supaya dakwah mampu terus berjalan, memiliki keupayaan dan menyibukkan pendukung dakwah dengan urusan dakwah. Jalan dakwah sebenarnya adalah panjang sedangkan dakwah yang menyebabkan manusia lari daripadanya dan tidak berdaya untuk menguasai dan mengawal mereka pasti tidak akan tercapai kejayaan seperti yang diidamkan. Bagaimana dakwah akan berjaya sedangkan dakwah yang disampaikan ditolak dan dibenci mereka?

Seni menguasai dan mengawal orang bermaksud kemampuan pendukung dakwah yang dikenali sebagai da’i untuk menarik orang dan memasukkan mereka ke dalam bahtera dakwah. Da’i yang berjaya ialah yang berjaya menyampaikan dakwah dan fikrahnya kepada sasaran serta meresapi dan mengesani ke dalam lubuk hati dan minda mereka daripada pelbagai golongan dan kedudukan masyarakat.

Pendukung dakwah yang tidak dihiasi dirinya dengan kemampuan mengawal orang pada tahap paling minima sudah pasti bukan sahaja tidak berdaya untuk menarik manusia kepada dakwahnya, bahkan kadang-kadang mendatangkan keburukan kepada dakwah dan menjadi sebab dakwah menanggung kesukaran. Sedangkan tujuan utama dakwah menguasai orang adalah supaya manusia tidak memusuhi dakwah dan tidak menjadi batu penghalang kepada dakwah.

Mana-mana individu tidak akan mampu untuk sampai ke tahap ini biarpun sehebat mana kemampuan dan kebolehannya melainkan dengan cara memenangi dan memiliki hati orang lain serta memikat kasih sayang mereka. Justeru, bagaimana kita menyayangi orang lain dan sampai kepada hati mereka sebagai permulaan untuk mengawal dan menguasai mereka dalam gelanggang dakwah?

Continue reading

Jiddiyah dan Kejelasan Fikrah

Jiddiyah (kesungguhan) sifat yang perlu ada pada setiap anggota dalam sesebuah organisasi Islam /  jamaah Islam. Tanpa sifat ini organisasi / jamaah tidak akan maju dan berkembang, tiada peningkatan dan tiada anggota yang berkualiti. Sekiranya sifat ini tiada pada Sinf (barisan) Qiayadah (kepimpinan), jamaah akan jumud dan hilang kewibawaannya. Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w terdiri daripada mereka yang serius dalam bekerja. Apabila sahaja turun ayat-ayat Allah s.w.t mereka berlumba-lumba untuk melaksanakannya. Mereka tidak sanggup menunggu kerana memahami maksud ayat Allah s.w.t :

Terjemahannya:

“ Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; “
(Surah ali Imran : 133 )

Terjemahannya :

“ Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh. “
(Surah ali Imran : 114)

Rasulullah s.a.w sentiasa ‘ motivate ‘ dan menggesa sahabat-sahabatnya supaya menjalankan kerja dengan bersungguh-sungguh bagi mengelakkan fitnah menimpa individu, keluarga, jamaah dan ummah seluruhnya. Sabdanya:

بادروا الى ا لآ عمال الصا لحة فا نه ستكون فتن كقطع الليل المظلم يمسى الرجل مؤمنا ويصبح كافرا, ويصبح مؤمنا ويمسى كافرا, يبيع دينه بعرض من الدنيا قليل

“ Segeralah melakukan amal soleh sebab akan berlaku fitnah besar bagaikan malam yang gelap gelita di mana seorang lelaki, paginya beriman apabila tiba petang hari berbalik kufur, petang ini beriman pagi esok kembali kufur kerana menukar deen dengan keuntungan dunia yang sangat remeh. “
Continue reading

Hidup Bahagia Bersama Dakwah

Penulis menerima beberapa persoalan dari pembaca berkenaan dengan komitmen dan penglibatan seseorang dengan dakwah. Sejauh manakah seseorang wajar terlibat dengan dakwah sedangkan dia masih belajar lagi. Ada juga yang bertanya permasalahannya antara dakwah dan kesibukan kerjaya. Malah ada juga yang tidak faham mengapa kita perlu sibuk berdakwah.

Penulis yakin di luar sanatelah banyak kajian, sebaran, bahan tazkirah, ceramah, forum, bengkel dan sebagainya bicara tentang dakwah. 3 blog (usrahkeluarga / tarbiyah pewaris) penulis sendiri juga ada banyak tulisan bicarakan tentang tanggungjawab dan cabaran  dakwah. Bicara dakwah dan melaksanakan dakwah dalam kehidupan adalah 2 perkara berbeza.  Namun untuk penulisan kali ini, mari kita ulangkaji tentang “fadhail-fadhail da’wah”, moga-moga kita faham tentang dakwah dan dapat jawapan yang jelas mengapa kita perlu melibatkan diri dengan kegiatan dakwah.

Kita semua adalah seorang da’i, penyeru pada kalimatullah. Setiap kita adalah memikul taklif/ beban da’wah di pundak kita masing-masing.

Allah SWT telah memilih kita untuk memikul beban ini, dan tidak di berikan beban ini pada makhluk Allah yang lain. Dalam lingkup yang lebih kecil lagi iaitu manusia Allah juga memilih hamba-hamba-Nya yang beriman saja yang boleh memikul da’wah ini, tidak semua manusia Allah berikan kesempatan untuk ikut serta dan bergabung dalam kereta da’wah ini.

Maka sungguh berbahagia orang-orang yang dipilih Allah SWT untuk memasuki bahtera da’wah ini sementara orang lain tertinggal di belakang dan di luar bahtera atau bahkan ada yang  menghalang-halangi jalannya kereta da’wah ini.

Tapi sebesar apapun rintangan yang ada, sesungguhnya kereta da’wah ini akan terus melaju dan terus berkembang, samada kita ikut di dalamnya atau kita tidak turut serta di dalamnya.

Maka sungguh rugilah orang-orang yang diberi kesempatan untuk ikut kereta da’wah ini dan berjalan sekian waktu, namun sebelum sampai ke tujuan terminal yang sebenarnya iaitu Syurga-Nya yang indah, dia sudah turun (futur-insilakh) dan keluar dari kereta yang masih terus berjalan.

Continue reading

KPI Muslim: Taqwa Di Sisi Allah swt.

Hari ini masyarakat berbicara tentang Key Performance Indicator / Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi mengukur kualiti prestasi  dan pencapaian bagi individu atau sesebuah jabatan/organisasi. Begitu sekali usaha manusia bagi menjayakan agenda kehidupan di dunia ini. Bagaimana pula dengan KPI kita sebagai muslim? Apakah generasi Rasulullah saw. dan para sahabat memiliki KPI juga?

Allah swt. menegaskan di dalam al-Quran bahawa umat Islam adalah generasi terbaik dan menjadi contoh kepada umat lain di bumi ini. Hakikat ini dibuktikan generasi Rasulullah dan sahabat selepasnya janji Allah itu benar apabila mereka benar-benar berpegang teguh pada ajaran Islam.

Justeru, bukan perkara mustahil bagi umat Islam kini untuk kembali memahami senarai lengkap KPI para sahabat Rasulullah saw. sehingga mereka diiktiraf sebagai sebaik umat.  Kuncinya kejayaan mereka adalah dengan memiliki taqwa yang jitu dan ampuh.

Allah swt.. telah berfirman yang bermaksud:

Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kalian disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kalian. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendengar.” (Al-Hujurat:13)

“Sesungguhnya Kami telah berwasiat (memerintahkan) kepada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan juga kepada kamu, bertaqwalah kepada Allah.” (An Nisa: 131)

Taqwa juga adalah wasiat Rasulullah SAW kepada umatnya. Baginda bersabda yang maksudnya:

“Aku berwasiat kepada kamu semua supaya bertaqwa kepada Allah, serta dengar dan patuh kepada pemimpin walaupun dia seorang hamba Habsyi. Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas aku kelak, dia akan melihat pelbagai perselisihan. Maka hendaklah kamu berpegang kepada sunnahku dan sunnah para khalifah yang mendapat petunjuk selepasku.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Termizi dan Majah)

Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa di mana sahaja kamu berada. Ikutilah setiap kejahatan (yang kamu lakukan) dengan kebaikan, moga-moga kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (Riwayat At Termizi dan Ahmad)

Taqwa berasal dari kata Waqa, Yaqi, Wiqayatan, yang bererti perlindungan. Taqwa bererti melindungi diri dari segala kejahatan dan kemaksiatan. Pengertian taqwa diantaranya adalah “Imtitsalu awamiriLLAH wa ijtinabu nawahiHi” atau melaksanakan perintah-perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Continue reading

Kemahiran Da’i: Memahami Kata-Kata Orang Lain

Sebagai da’i dan murabbi, tugas kita bukan sahaja menyampaikan dakwah, mentarbiah mutarabbi dan berkomunikasi dengan semua manusia. Namun ada satu lagi kemahiran penting yang perlu kita kuasai iaitu kemahiran memahami ikata-kata orang lain. Kita harus memahami kata-kata yang disampaikan oleh orang yang berbicara dengan kita. Allah swt. telah berfirman yang bermaksud:

“Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya.” (‘Ali Imran: 118)

Allah swt. berfirman lagi:

“Sungguh engkau akan mengenal mereka dalam gaya ucapan” (Muhamamd: 30)

Sesungguhnya manusia memiliki cara yang berbeza dalam mengungkapkan apa yang ada di dalam hati mereka, antaranya:

–          Ada yang mengungkapkan isi hatinya dengan terbuka

–          Ada orang yang dari wajahnya telah nampak apa yang ada di dalam hatinya

–          Ada orang yang mengungkapkan isi hatinya hanya dengan isyarat

–          Ada orang yang isi hatinya begitu mudah keluar melalui kata-katanya, yang baik atau yang tidak baik

Continue reading

At Tawazun (Keseimbangan)

At Tawazun ini adalah suatu kaedah yang betul.  Suatu panduan yang tepat yang perlu diambil berat oleh setiap Muslim.  Islam mengambil berat tawazun ini sebagai salah satu matlamat asasi dalam sistemnya.  Sebagai  suatu kaedah yang tepat dalam Islam untuk meneruskan sistemnya, kerana itu mesti terdapat tawazun dalam ajaran Islam atau dalam Islam itu sendiri.  Mesti ada perseimbangan.

Tawazun dalam menilai kemampuan-kemampuan manusia itu sendiri iaitu kemampuan jasad manusia, kemampuan aqal fikiran manusia serta kemampuan rohani manusia.  Tawazun diperlukan dalam ketiga-tiga kemampuan manusia tersebut atau disebut juga dengan  Taqah Insaniyyah, yang terdiri dari Taqah Jasadi, Taqah ‘Aqli dan Taqah Rohani.

Continue reading