Kemahiran dan Seni Dalam Dakwah

Kemampuan untuk menguasai orang lain adalah suatu keperluan yang dapat melengkapkan keperibadian pendukung dakwah dan salah satu keperluan di jalan dakwah supaya dakwah mampu terus berjalan, memiliki keupayaan dan menyibukkan pendukung dakwah dengan urusan dakwah. Jalan dakwah sebenarnya adalah panjang sedangkan dakwah yang menyebabkan manusia lari daripadanya dan tidak berdaya untuk menguasai dan mengawal mereka pasti tidak akan tercapai kejayaan seperti yang diidamkan. Bagaimana dakwah akan berjaya sedangkan dakwah yang disampaikan ditolak dan dibenci mereka?

Seni menguasai dan mengawal orang bermaksud kemampuan pendukung dakwah yang dikenali sebagai da’i untuk menarik orang dan memasukkan mereka ke dalam bahtera dakwah. Da’i yang berjaya ialah yang berjaya menyampaikan dakwah dan fikrahnya kepada sasaran serta meresapi dan mengesani ke dalam lubuk hati dan minda mereka daripada pelbagai golongan dan kedudukan masyarakat.

Pendukung dakwah yang tidak dihiasi dirinya dengan kemampuan mengawal orang pada tahap paling minima sudah pasti bukan sahaja tidak berdaya untuk menarik manusia kepada dakwahnya, bahkan kadang-kadang mendatangkan keburukan kepada dakwah dan menjadi sebab dakwah menanggung kesukaran. Sedangkan tujuan utama dakwah menguasai orang adalah supaya manusia tidak memusuhi dakwah dan tidak menjadi batu penghalang kepada dakwah.

Mana-mana individu tidak akan mampu untuk sampai ke tahap ini biarpun sehebat mana kemampuan dan kebolehannya melainkan dengan cara memenangi dan memiliki hati orang lain serta memikat kasih sayang mereka. Justeru, bagaimana kita menyayangi orang lain dan sampai kepada hati mereka sebagai permulaan untuk mengawal dan menguasai mereka dalam gelanggang dakwah?

Setiap da’i bercita-cita supaya dirinya tersedia perasaan menyanyangi orang lain, akan tetapi bukanlah semua perkara yang kita idamkan kita tahu cara mencapainya. Cita-cita ini tidak akan kita capai melainkan apabila diri kita mempunyai keinginan yang sebenar dan tulus untuk sampai kepada hati orang lain, kemudian kita mengambil sebab atau langkah untuk mencapai matlamat ini.

Bagaimana langkah untuk memenangi kasih sayang orang lain?

1. Mengenali dengan baik saudara mu

Mengenali sesiapa yang ditemui daripada saudara-saudaramu walaupun kamu tidak diminta berbuat begitu..Inilah pesanan yang jelas daripada Imam As-Syahid Al-Banna supaya pendukung dakwah terjun ke dalam masyarakat, bergaul dengan mereka dan menjalinkan hubungan dengan mereka dalam suasana persaudaraan, kasih mesra dan keakraban. Keadaan ini tidak mungkin berlaku jikalau kamu tidak mengenali antara satu sama lain dengan perkenalan yang mendalam. Oleh itu,bagaimana saya mahu mendekati orang sedangkan saya tidak mengetahui apa yang menyusahkan dan apa yang menyenangkannya? Saya tidak tahu apa yang menggembirakannya dan menyedihkannya? Hal ini sudah tentu akan membantu kita supaya tidak bertembung dengan tabiat dan kebiasaan orang lain yang menyukarkan kita untuk mendekati merteka.

2. Jangan mendesak orang lain menerima pendapat mu

Di antara perkara yang menyebabkan orang lari dan menjauhkan diri daripada da’i ialah cubaan untuk mendesak atau memaksa orang menerima pendapat dalam sesetengah topik atau cubaan secara sukarela untuk mengetahui sesuatu masalah dan mula memberi nasihat tentangnya..Oleh itu eloklah seorang da’i menjauhi tindakan seperti ini kerana tidak manis campurtangan dalam urusan orang lain khasnya, sebaliknya tunggulah sehingga dia memerlukan bantuan dan nasihat dari kamu.

 

3. Jangan banyakkan mengkritik atau memberi komen

Banyak mengkritik orang yang berada disekelilingnya akan menghalang keinginan untuk menjalin kemesraan. Ini kerana orang yang dikritik akan berada pada kedudukan mempertahankan diri serta berusaha mencari alasan yang menyokong kebenaran dirinya dan mencari kesalahan di pihak kamu. Oleh sebab itu sesetengah kritikan boleh membawa kepada pertumpahan darah bagi pihak yang ego atau angkuh. Kritikan juga boleh membawa kepada perasaan negative terhadap orang yang mengkritiknya.

 

4. Bergaul dengan cara yang mereka suka

Kasih sayang, yang pertama bermaksud memberikan kasih sayang dan kemudian bermaksud hasil kasih sayang. Seorang da’i yang bergaul dengan orang dengan pergaulan yang buruk atau bersikap sombong dan tidak mempedulikan orang lain, kemudian menunggu orang mendekati dan mengasihinya adalah pergaulan yang salah dan tidak betul. Bagi mengetahui kepentingan fakta ini cuba tanya dirimu sendiri: Adakah aku pernah menolong orang yang bersedih atau pernah menyelamatkan orang yang ditimpa bencana atau menggembirakan orang yang berduka? Kemudian cuba ingatkan ujian yang sukar yang pernah aku hadapi sedangkan aku sangat perlukan pertolongan dan bantuan orang lain. Ingatkanlah perasaanmu di kala menghadapi situasi sukar demikian. Sudah tentulah perasan kasih, sayang, kemesraan dan kepedulian yang menguasai diri orang yang dikenali akan dicurahkan kepada kita dan akan bersama membantu meringankan ujian yang kita tanggung.

5. Mengelakkan dari mengatakan mereka

Setiap orang mempunyai kebaikan atau keaiban, positif atau negative. Oleh itu tiada seorang pun di muka bumi ini yang bersih daripada keaiban dan kelemahan sedangkan bercakap tentang keburukan orang lain meninggalkan gambaran dan kesan yang buruk terhadap mu, menggoncangkan kepercayaan antara mu dan orang lain dan menyebabkan mereka merasa takut untuk datang pada hari kamu berselisih dengan mereka. Justeru kamu mengata mereka seperti mana mereka mengata mu ketika berada sesama mereka.

 

6. Meminta kebenaran atau keizinan mereka

Kita telah mengetahui Rasul saw sentiasa meminta keizinan daripada sahabat-sahabatnya. Di antara akhlak dan tingkah laku yang membantu da’i untuk menguasai orang dan mencapai kasih mesra mereka ialah meminta keizinan daripada mereka. Ia juga boleh mendatangkan hasil iaitu membangkitkan perasan kasih dan sayang di dalam jiwa mereka kerana kita sentiasa meminta kebenaran atau keizinan daripada mereka. Kita sebenarnya bergaul dan bermesra dengan mereka menurut kacamata mereka bukan menurut kacamata kita.

Hal ini disokong oleh Dale Canergie, pengasas Akademik Pengajian Kemanusiaan yang mengatakan bahawa: “Meminta kebenaran orang lain adalah kehendak semula jadi semua manusia. Kalau saya kata tentang perihal anda yang tidak betul tanpa sengaja tentu anda tidak akan mengecamnya kalau saya berpegang kepada pendirian di atas. Justeru kalau anda berada pada kedudukannya pastilah saya juga akan berpendirian demikian. Kisah seperti ini sudah cukup membuang kebencian dirinya terhadap anda yang kadang-kadang boleh menjadi jenaka yang baik dan melimpahkan perasaan dan sangka baik terhadap anda”.

 

7. Jangan bermasam muka

“Melemparkan senyuman dan wajah yang manis kepada saudaranya adalah sedekah,..” Demikianlah yang diajarkan oleh baginda saw. Bermasam muka adalah penyebab utama mereka lari dan memusuhi kita serta menimbulkan perasaan takut dan keresahan di hati mereka. Justeru orang yang mahu memperolehi kasih manusia dan kemesraan mereka sewajarnya mampu mengimbangi antara kepentingan peribadi dan penerimaan orang lain supaya jangan sampai tidak memberi kesan kepada penerimaan dan sambutan mereka untuk berkasih sayang kepada da’i. Di sana ada golongan yang menyangka bahawa orang yang berwajah senyum adalah anugerah kepada kekuatan peribadinya dan keperluan untuk memulia dan menghormati orang lain. Padahal reality yang sebenar bukan begitu kerana bagi orang yang mahu memperolehi kasih orang lain sudah tentulah dia sentiasa melemparkan senyuman manis pada wajahnya.

Selepas itu, kalau kita mahu mempraktikkan langkah ini dan dakwah kita sampai ke dalam hati orang lain, maka penuhilah dan siapkan mereka dengan persiapan yang baik supaya mereka menjadi “rijal fikrah” yang mendukung ketinggian dakwah dan menjulang panjinya.

Bagaimana pendukung dakwah mampu menguasai orang lain?

Kerja menguasai dan membawa manusia masuk dan menyokong dakwah termasuk perkara yang perlu kepada usaha yang gigih dan perhatian sepenuhnya. Jika tidak apakah faedah kepada usaha menguasai orang awam supaya hidayah sampai kepada mereka dan akhirnya menyertai kafilah dakwah sekiranya pintu hati mereka terus tertutup, sifat malas dan bertangguh terus membungkam mereka, semangat mereka merosot, kecergasan mereka menjadi lemah dan akhirnya mereka sekadar menjadi penonton dakwah sahaja?

Ini kerana kemampuan dan potensi mereka tidak dijana dan dicambah sepenuhnya. Oleh itu langkah penguasaan dalaman ialah langkah tunggal untuk menjaga kecergasan mereka supaya hidup dan segar di dalam diri mereka. Bermaksud penguasaan pendukung dakwah ialah mereka mampu menjaga di dalam barisan beserta mengembangkan potensi yang sesuai supaya dapat memelihara, menyuburkan dan menyiapkan mereka dari segi iman dan haraki. Oleh sebab itu peringkat penguasaan dalaman sangat berkait kepada kekukuhan proses mengumpul dan persiapan, seolah-olah seperti sesiapa yang menabur benih kapas dan menjaganya dengan memberi baja sehingga tumbuh, berputik dan memetik hasilnya. Kemudian kapas itu berpindah ke kilang pintal dan tenunan “penguasaan dalaman” yang memproses kapas ini daripada bahan mentah menjadi pelbagai barangan dan industry.

Tarbiyyah yang pertama dan seterusnya

Menyembunyikan kepentingan penguasaan para pendukung dakwah merupakan satu permasalahan besar yang terhasil dari kealpaan dalam asas ini. Dengan itu pendukung dakwah berkembang tanpa ditarbiyyah atau meningkat tanpa komitmen dan mewarisi tanggungjawab dakwah tanpa kelayakan yang kesudahannya menjadi bebanan dan bencana kepada dakwah dalam kebanyakan hal.

Prof. Fathi Yakan menyatakan: “Saya menyedari ada orang yang cuba merobohkan tembok dakwah yang bukan pada tembok yang sebenar dan menjadi pendakwah sebelum masanya. Lalu dia mengadu dan berlindung daripada kecacatan dan pelbagai penyakit..yang paling minima ialah perasaan ujub dan yang lain seperti penyakit marah dan bengis. Pada ketika kedudukannya bertambah tinggi dan darjatnya meningkat sekaligus bertambah tinggi perasaan ujub, marah dan bengis dan dia tidak mampu mengekang dan mengawalnya yang berkesudahan dengan keguguran dan kerugiannya daripada dakwah”.

Kerja tarbiyah sekiranya tidak disempurnakan sebelum tempohnya dan dilengkapkan dengan persiapan yang membawa ke arah kejayaan , maka dakwah tidak akan sekali-kali dapat mencapai keahlian anggotanya dan tidak mampu mencegah daripada penyakit dan kecacatan mereka dengan alasan keperluan dan darurat. Seterusnya tidak syak lagi akan berlaku kepincangan kepada kepribadian mereka yang memberi kesan kepada barisan yang sempurna. Dari sini jelas tentang kepentingan ihtiwak tarbawi yang bekerja untuk melayakkan individu dan memeliharanya sebelum berdepan dengan fitnah harakah dan rentetannya.

Ustaz Fathi Yakan menambah lagi; “Saya mengetahui ada orang selainnya – yang dimaksudkan ialah salah seorang anggota harakah Islamiah – telah membantu dakwah untuk menghinakannya ketika melantiknya di jalan penuh liku sebelum akhlaknya sedia dan menugaskannya dalam urusan yang belum lagi berkelayakkan serta memendekkan marhalah tarbawi sebelum masanya. Justeru kita sendiri boleh menggambarkan bagaimana kesudahannya nanti?”

Justeru orang yang membaca peristiwa dan sejarah dakwah mendapati tiada ruang untuk mempertikai sebab timbul perpecahan dan perselisihan yang ditanggung oleh dakwah, masalah keguguran anggota dakwah di jalanan dan penyakit-penyakit yang nyata pada anggotanya ialah kerana tidak memelihara aspek tarbawi.

Perkara terpenting yang kita tegaskan ialah tidak sepatutnya walau seorangpun anggota dakwah dibiarkan berterusan tanpa sebarang kerja atau tugasan yang merupakan sebagai syarat mereka melengkapkan binaan diri mereka ketika proses tarbiyyah. Mencipta amal atau tugas yang tertentu kepada setiap individu atau anggota sekalipun amal yang ringan dan terhad akan menggandakan penghasilan serta menjauhi dakwah daripada masalah penggangguran di dalam saff. Justeru orang yang tidak mempunyai peranan dan tugas tertentu menjadi titik lemah yang menjadi bencana yang menyerap ke dalam tubuh pendakwah seluruhnya.

Di antara kesilapan dalam pembahagian tugas dan tanggungawab ke atas anggota dakwah ialah memadai tugasan diberi kepada individu yang positif dan proaktif sahaja. Memang telah diketahui bahawa mereka sangat proaktif dan bergerak secara aktif kerana mereka terbukti lebih bersedia untuk melaksanakan tugasan dan kerja dan meninggalkan individu yang dikenali sebagai pesimis atau bersifat negative. Sekalipun mereka telah menyempurnakan marhalah penguasaan tarbawi namun sikap negative semakin merebak dan bertambah, membibitkan perasaan lemah dan putus asa, menambah rasa malas, melembabkan pergerakan dan mengurangkan sumbangan mereka.

Banyak peristiwa yang kita saksikan dan ikuti bila individu amalin yang positif hilang daripada tugas atau kerja dengan sebab bepergian atau sebab lain..muncul individu yang baru di antara kita dan di hadapan mata kita, tetapi kita tidak meminta bantuan mereka dan melibatkan mereka dalam aktivti kita kerana sangkaan kita bahawa mereka tidak sesuai atau mereka bersikap negative dalam soal kemasyarakatan. Namun ketika keadaan terdesak untuk melibatkan mereka, kita lihat mereka begitu aktif, berkeupayaan untuk bergerak dan berkerja terus menerus, jelas kebolehan dan kemampuan mereka.

Selain itu anggota dakwah ada yang bekerja, bergiat dan berkembang dan ada yang tidak bekerja, malap dan mati. Bebanan dan tanggungjawab dakwah hanya diserah kepada individu tertentu yang mahu bekerja dan bergerak, bukan kepada individu yang dijangkiti penyakit lembab, tidak peduli dan tidak merasai tanggungjawab. Mereka ini lama kelamaan tidak mahu melibatkan diri, bekerja dan berusaha di dalam dakwah, malahan mereka akan menjadi bebanan kepada dakwah.

Akhirnya, sesungguhnya penguasaan pendakwah mempunyai syarat dan disiplin tertentu kerana tanpanya tidak sekali-kali akan tercapai hasil dan buah yang bermutu. Mudah-mudahan sebagai pendahuluan kepada syarat tersebut ialah dengan melengkapkan marhalah binaan tarbawi hingga binaan ini tertegak di atas asas yang kukuh yang mampu menempuh rintangan di jalan dakwah dan bersabar dengan segala dugaan-dugaannya.

 

Oleh: Abdul Shomat Al-Faqiy, Terjemahan daripada http://www.ikhwanonline.com

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s