Anjakan Paradigma Dari Pengalaman Hidup Seorang Murabbi

Salam… Perkongsian dari al Akh Cikgu Azmi Bahari, sepetang bersama Murabbi mithali.

Selesai saja solat asar… saya, isteri dan beberapa pelajar khassah puteri terus bergerak ke rumah Ustaz Dahlan seorang murabbi yang saya letakkan ditempat yang istimewa di hati saya dan saya yakin bukan saya seorang saja yang merasainya sebagai insan istimewa bahkan ribuan insan lain.

Hajat saya hanya untuk ziarah dan tentunya menziarahi orang yang sedang sakit tidak seharusnya berlama-lama. Ketika dalam perjalanan saya merancang untuk ziarah tidak lebih dari 15 minit memandangkan keadaannya yang agak lemah ketika saya menziarahinya lebih seminggu lepas di HUKM. Namun apabila sampai di rumahnya lain pula jadinya. Sampai di rumahnya, baru sempat duduk sekejap saya terus kebelakang rumahnya untuk menangkap beberapa ekor ikan keli yang dibela di dalam kolam yang dibuat dari tangki poly. Walaupun ikan keli ini memang kegemaran saya namun itu bukanlah alasan utama hingga kaki tanpa disedari terus melangkah ke kolam ikan itu, bukan juga kerana pelawaan bertubi-tubi dari anak ustaz, Ustazah Amani. Tetapi kerana ikan-ikan itu adalah peliharaan arwah Ummi Halimatun isteri Ustaz seorang yang benar-benar telah jadi ‘Ummi’ kepada pelajar-pelajar MATRI dan sebahagian besar dari guru-guru MATRI. Setelah selesai urusan saya dengan ikan keli ‘istimewa’ itu saya terus duduk di samping Ustaz dengan niat ‘sekejap’ saja kerana takut menganggu masa rehat Ustaz walaupun kalau ikutkan hati saya memang ingin duduk lama bersama Murabbi Istimewa ini.

Ternyata ianya tidak seperti yang dirancang, Ustaz mula bercerita kisah silamnya sejak kecil hingga saat ia terlantar sakit. Wajahnya begitu ceria dan bersemangat bahkan tidak ada banyak ruang untuk saya mencelah. Kerana takut tindakannya itu kerana ingin meraikan tetamu saya cuba beri isyarat seolah-olah ingin pulang supaya Ustaz dapat berehat, namun isyarat saya itu seperti tidak diendahkan. Sayapun apa lagi, bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal saya terus perkemaskan duduk dan mendengar dengan penuh minat. Walaupun kisah-kisahnya telah beberapa kali saya dengar dari bibirnya namun saya tidak rasa jemu bahkan ingin mendengarnya berulang kali.

Ianya bukan cerita kosong yang tidak bernilai tetapi kisah keazaman dan perjuangan yang tidak dijangkiti kelelahan dan putus asa, kisah kegigihan dan kesungguhan yang tidak terhakis dengan tekanan dan halangan juga kisah kebangkitan jiwa dan anjakan paradigma yang luar biasa.

Kisahnya adalah kisah anak muda yang lahir dan membesar dalam keluarga dan masyarakat yang tidak mementingkan pendidikan lalu ia bangun dengan keazaman yang tinggi untuk menongkah kesukaran hidup sebagai ‘penuntut ilmu’. Belajar dengan tanggungan titik peluh sendiri bahkan pernah satu ketika, ketika bunga harapannya sedang mekar berkembang tiba-tiba basikal yang jadi kuda tunggangan utamanya dalam jihadnya menuntut ilmunya itu dicuri orang. Namun ketika menceritakan tentang kehilangan basikalnya itu airmukanya tidak menceritakan rasa sedih atau kecewa tetapi apabila begnya yang mengandungi buku-buku catatannya itu dicampak ke parit air mukanya seolah-olah terasa agak terkilan dan sedih; rasa terkilan dan sedih seorang pencinta ilmu melihat dakwat penanya larut dan hanyut bersama air yang mengalir.

Semua itu tidak melunturkan semangat juangnya. Setiap hari dia terpaksa keluar awal pagi kerana terpaksa berjalan kaki berbatu-batu merentasi jalan tanah merah untuk sampai ke jalan utama dan disitu pula dia terpaksa tunggu kalau-kalau ada sesiapa yang sudi menumpangkannya ke sekolah. Katanya lagi rakan seumurnya selain dirinya hanya seorang sahaja yang berusaha untuk belajar, itupun sehingga di maktab sahaja, yang lainnya hidupa tanpa pelajaran kerana desakan hidup dan kemiskinan.

Kisahnya adalah kisah anak yatim yang menumpahkan kasihnya pada guru-guru yang telah menyampaikan ilmu padanya. Bahkan sampai hari ini beliau masih menghormati dan menyayangi mereka. Masih ada 3 orang gurunya yang masih hidup dan beliau tetap menjaga hubungan dengan mereka. Sambil membacakan syair arab Ustaz menggambarkan rasa terhutang budinya kepada guru-guru yang telah menyampaikan ilmu kepadanya. Ketika menceritakan tentang gurunya, Ustaz nampak begitu rendah dan kerdil seolah-olah dirinya tidak layak dibandingkan dengan guru-gurunya walaupun pendidikan yang dilaluinya sekarang beserta perjuangannya jauh lebih tinggi dari guru-gurunya.

Kisahnya adalah kisah pencinta ilmu, yang bertungkus lumus mencari ilmu kerana ‘ilmu’ bukan kerana ‘sekeping kertas’ atau untuk kedudukan dan pangkat lalu usia remajanya tidak tercemar dengan kerja sia-sia. Disampimg pelajar beliau juga menjadi guru tak rasmi dikampungnya, mengajar bahasa arab untuk orang-orang dewasa. ‘Pelajar-pelajar’nya jauh lebih tua darinya datang menuntut ilmu tanpa malu.

Kisahnya juga adalah kisah prinsip dan perjuangan apabila pentadbiran sekolahnya berpindah tangan kepada insan ‘politik’ yang tidak memperjuangkan ilmu. Dia bersama-sama temannya melancarkan mogok sehingga sekolahnya itu diisytiharkan tutup dan dibuka semula untuk pendaftaran baru supaya secara halusnya, pelajar yang tegas berjuang tidak akan memohon mendaftar diri semula.

Proses pendidikan ilmunya terhenti begitu sahaja tanpa syahadah atau sijil. Selama 8 bulan beliau menekuni ‘bidang baru’, ditemani rakannya yang tidak pernah melalui sebarang sistem pendidikan. Beliau menoreh getah bagi memenuhi keperluan keluarga. Tanpa putus asa beliau lalu menulis memorandum kepada Yang DiPertuan Agung pada masa itu dan tidak lama kemudia Yang DiPertuan Agung memerintahkan supaya semua pelajar-pelajar lama diambil semula tanpa syarat. Namun pada masa itu Ustaz telah menerima tawaran lain. Ketika disuatu pagi, ketika badannya masih berpalit getah dan tanah beliau menerima surat panggil temuduga sebagai guru di sekolah Al Masyhur. Tarikh temuduganya adalah tarikh yang sama beliau menerima surat. Ketika itu juga dia bertekad untuk ke Penang. Ditinggalkan kerjanya itu serta merta dan terus ke rumah sepupunya untuk meminjam seluar yang agak elok untuk temuduganya. Petang itu ia sampai di Al Masyhur dan setelah asar barulah berkesempatan berjumpa dengan mudir (seorang Arab). Kagum dengan kefasihannya berbahasa arab Mudir itu terus berkata “Ghadan Anta Tudarris (Esok kamu mengajar)”. Malam itu juga, dengan baju yang kusut masai setelah sehari perjalanan Ustaz ke Penang Road untuk membeli pakaian untuk mengajar esok.

Setelah beberapa lama… kerana keikhlasan dan kesungguhannya lalu Allah SWT merencanakan satu titik perubahan besar untuknya. Ustaz dipilih untuk dihantar ke Iraq. Ustaz tidak menolak tetapi mengadu kepada Mudir itu bagaimana dia dapat masuk ke universiti tanpa sebarang sijil dan memang perkara ini telah dimaklumkan ketika sessi temuduganya dulu. Lalu Mudir dari timur tengah itu dengan tegas menjawab. “Kami akan keluarkan sijil” Lalu diambilnya sijil kosong dan diminta Ustaz untuk tuliskan detailnya. Dengan kerendahan Ustaz tulis detail dirinya serta maddah atau matapelajaran untuk syahadah dan untuk gred kelulusan Ustaz hanya tuliskan jayyid, kalau makbul tentunya sukar untuk masuk ke universiti. Lalu Mudir itu bertanya “Apa yang kamu tulis?”, “tuliskan Mumtaz”. Setelah mengenali peribadi dan ilmu Ustaz itulah nilai mudir al Masyhur itu.

Saya tidak berniat untuk menulis sejarah Ustaz jadi saya tidak menulis semua yang saya dengar darinya tetapi sekadar ingin berkongsi semangat perjuangan dan keazamannya yang tinggi semoga dengan perkongsian ini jiwa kita turut terbangun. Tentunya segala pujian yang saya coretkan ini adalah cetusan hati saya sendiri. Apa yang diceritakan Ustaz adalah kisah hidupnya dengan penuh kerendahan.

3 thoughts on “Anjakan Paradigma Dari Pengalaman Hidup Seorang Murabbi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s