Perkongsian dari anak didik beliau, saudara Hilal Asyraf.
Ustaz Dahlan bin Mohd Zain. Beliau adalah mudir saya. Saya masih tidak biasa memanggil beliau dengan gelarannya: Dato’ Kaya Bakti. Begitulah juga saya masih tidak biasa meletakkan ‘almarhum’ di hadapan namanya. Ya, dia telah meninggal dunia.
Tetapi itu bukanlah alasan untuk menghentikan langkahan. Bahkan, pemergiannya sepatutnya menjadi motivasi kepada manusia seperti saya untuk meneruskan perjuangan. Hatta Abu Bakr RA dan para sahabat meneruskan usaha-usaha dakwah dan tarbiyah selepas pemergian Rasulullah SAW, apatah lagi pemergian seorang murabbi yang bernama Ustaz Dahlan bin Mohd Zain. Pemergiannya hanya menjadi sia-sia sekiranya anak muridnya seperti saya ini tidak bergerak menyambng perjuangannya.
Di ruangan seni kali ini, saya ingin berkongsi beberapa ’seni’ dalam langkahan murabbi saya yang telah pergi itu.
Moga-moga, dengan perkongsian ini, ia menjadi satu sumbangan idea, dalam kita mengajak masyarakat untuk kembali menjadikan Allah sebagai ILAH dan RABB di dalam kehidupan insan.
Seni 1: Bersederhana di dalam jawapan.
Biasa apabila kita dilontarkan soalan, kita akan teruja untuk memberikan jawapan yang ‘paling betul’. Sebagai contoh, soalan begini:
“Ustaz, boleh tak nak keluar dengan tunang?”
Biasanya jawapan ini akan kita jawab begini:
“Tak boleh. Haram! Tunang tu sama sahaja layanannya dengan perempuan bukan mahram lain.” Dan kita akan sertakan wajah serius bersama-sama. Tidakkah begitu?
Tetapi lihatlah Ustaz Dahlan bagaimana dia memberikan jawapan, apabila seorang sahabat saya bertanya kepadanya: “Ustaz, boleh tak nak makan sama-sama dengan tunang?”
Ustaz menjawab bagaimana?
“Boleh.”