Usrah Dan Pengendaliannya (2)

Halaqah Penulis Bersama Murabbi Yang Dikasihi, Abu Munzir

2) At-Ta’lif  (التأليف ) (Kemesraan atau proses menjinakkan)

Proses ta’lif ini hendaklah berjalan seiring dengan sifat fitrah manusia. Ta’lif dibangunkan atas tiga rukun:

a)     At-Ta’aruf

Proses ta’aruf (saling kenal mengenal) perlu berlaku antara kedua-dua belah pihak (murabbi dan anggota). Ia berjalan secara timbal balik. Proses ta’aruf memerlukan masa yang panjang dan terlaksana dalam suasana formal dan tidak formal. Ta’aruf dalam suasana tidak formal, lazimnya lebih memberi kesan kepada diri anggota-anggota.

Hati-hati manusia, apabila  sudah mesra, maka akan lahirlah kesatuan yang sebenarnya. Walaupun mereka berjauhan, namun hati-hati mereka tetap merasa mesra, berkasih sayang dan berukhuwah

Rukun ta’aruf yang melahirkan kemesraan, kasihsayang dan ukhuwah inilah yang membentuk penyatuan. Terutama penyatuan dalam perkara-perkara asas. Penyatuan yang seumpama inilah yang akan mengarahkan kepada kerja-kerja kepada satu arah.

Harakah perlu memiliki kesatuan hati di kalangan anggota-anggotanya. Kalau tidak ada kesatuan hati, maka pada hakikatnya, harakah itu tidak kuat. Kata Ustaz Hasan Al-Banna:

Hendaklah kamu kenal mengenal antara satu sama lain, atas dasar roh untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Oleh itu anggota-anggota usrah perlu berusaha untuk merasai ukhuwah di kalangan mereka. Anggota-anggota perlu mengambil kesempatan dalam perjumpaan-perjumpaan untuk mengenali sesama mereka dalam pelbagai hal. Tidak memadai jika perjumpaan mingguan hanya menjadi majlis penyampaian satu hala dan memaklumkan tarikh-tarikh program sahaja.

Satu hal lagi, panduan atau rujukan utama dalam berukhuwah dan berkasih sayang ialah al-Qur’an dan sunnah/sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

b)     At-Tafahum

Tafahum bermakna saling memahami antara kedua-dua belah pihak (murabbi dan anggota-anggota). Ini berbeza dengan faham di sebelah pihak sahaja.

Kata Ustaz Hasan Al-Banna:

Untuk melahirkan tafahum, pihak naqib (murabbi) terlebih dahulu perlu memperbetulkan dirinya sendiri. (Lakukan apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang. Dia perlu selalu muhasabah dirinya dahulu. Kemudian barulah dia boleh laksanakan kepada orang lain).

Bagi diri murabbi, proses mu’allajah al-uyub perlu sentiasa berjalan. Bagi pihak yang berada di bawah didikannya pula, mestilah menerima nasihat murabbinya dengan penuh rasa terima kasih.

Murabbi pula tidak boleh rasa dia lebih baik atau lebih tinggi daripada anak didiknya. Sementara anak didik pula tidak boleh ada rasa hina atau rendah diri apabila diberi nasihat. Pada hakikatnya, masing-masing perlu fahami bahawa nasihat itu, pada hakikatnya, datangnya daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Rasulullah Sallallahu’alahiwasallam berpesan:

الدين النصيحة

Ad-din itu nasihat

Dasar nasihat ini perlu terjelma dalam realiti berusrah, terutama dari segi maratib pengislahan:

i)        Pertama – murabbi yang menasihati perlu membina/membentuk dirinya terlebih dahulu.

ii)      Kedua – anak buah yang dinasihati perlu menerima nasihat dengan jiwa yang terbuka dan bersyukur.

c)     At-Takaful

Takaful bermakna imbang-mengimbangi. Takaful akan lahir apabila wujud sifat tolong menolong antara anggota-anggota usrah dalam semua hal dan keadaan – samada semasa menerima ni’mat atau pun semasa ditimpa musibah.

Tolong menolong perlu berlaku:

i)        Dalam konteks ni’mat maddiah (seperti wang ringgit dan keuntungan kebendaan).

ii)      Dalam konteks ni’mat ma’nawiyah (seperti ukhuwah, ilmu dan ibadah)

Semua anggota usrah di bawah didikan murabbi, sama-sama merasai ni’mat-ni’mat di atas. Apabila takaful sebegini dapat berjalan dengan baik di dalam usrah, maka barulah ia boleh berkembang ke dalam suasana harakah yang lebih luas. Masing-masing anggota harakah di merata tempat, organisasi dan institusi sama-sama dapat merasai ni’mat-ni’mat itu.

Apabila dasar takaful ini wujud dalam perjalanan sesebuah harakah Islamiyah, maka barulah tidak wujud jurang yang jauh antara yang kaya dengan yang miskin, antara yang berilmu dengan yang jahil, antara yang tua dengan yang muda, antara yang senior dengan yang junior, antara ketua dengan pengikut. Dalam realiti gerakan Ikhwanul Muslimin, tidak wujud jurang yang jauh antara anggota-anggotanya.

Di sana, ada hubungan yang rapat antara tafahum dan takaful. Setelah dasar tafahum berjalan dengan baik, maka barulah takaful akan lahir sebagai natijahnya. Antara bukti terlaksananya prinsip takaful ialah – antara anggota-anggota usrah lahir suasana saling bantu membantu dan saling pikul memikul apabila berdepan dengan permasalahan yang dihadapi oleh salah seorang saudara mereka.

Seorang murabbi mestilah berusaha bersungguh-sungguh dan banyak bergaul dengan para anggotanya supaya sebanyak mungkin permasalahan anggota dapat dikenalpasti dan diselesaikan.

Itulah tiga rukun usrah (ta’aruf, tafahum dan takaful) yang telah dijelaskan oleh Imam Hasan Al-Banna. Imam Hasan Al-Banna telah menyarankan banyak panduan untuk diikuti oleh harakah Islamiyah bagi mencapai matlamat membangunkan ummah Islamiyah dari semasa ke semasa. Penulisan buku-buku mengenai fiqh da’wah dan  haraki masakini banyak mengenegahkan semula panduan-panduan asas sepertimana yang disarankan oleh Ustaz Hasan Al-Banna. Ini bertujuan supaya para da’i dan pekerja Islam sentiasa berada di atas landasan yang betul. Di samping itu, adalah mustahak bagi para da’i dan pekerja Islam untuk mengambil saranan-saranan daripada ulamak-ulamak muktabar terkini agar kefahaman dan sikap mereka dapat diselaraskan dengan waki’ semasa.

3) At-Ta’lim (التعليم ) (Pengajaran)

At-Ta’lim bermaksud memberi pengajaran. Dalam kontkes usrah ta’lim adalah suatu bentuk pengajaran dan pendidikan yang praktikal. Dalam proses ta’lim, dua perkara penting ditegakkan serentak untuk membina anggota-anggota, iaitu:

a)     Matlamat dan aktiviti-aktiviti at-ta’lim

Usrah adalah sekolah, yang mana antara matlamatnya, mengajar prinsip-prinsip syara’. Di dalam usrah, anggota-anggota diajar tentang usul aqidah, asas-asas fikrah Islam dan sebagainya.  Dalam usrah juga, anggota-anggota diajar prinsip-prinsip berharakah, uslub dan wasilah.

Murabbi adalah pelaksana yang sedar dan faham dalam menjalankan manhaj tarbiyah harakah. Beliau perlu membuat persediaan-persediaan untuk menimbulkan keseronokan di kalangan anggota-anggotanya. Percakapannya berisi. Anggota-anggota merasai dibina kefahaman mereka dan perjumpaan usrah  mingguan menghasilkan pulangan yang memberangsangkan. Mereka akan merasai sesuatu yang baru dan menyukai murabbi.

Terdapat dua jenis manhaj pembelajaran dalam usrah:

i)        Manhaj pembelajaran umum

(1)  Membuat penyampaian, misalnya penyampaian yang diambil dari satu bahagian kitab, risalah atau bahan bacaan biasa (yang tidak begitu memberatkan).

(2)  Bahan-bahan sepertimana yang terdapat dalam silibus tarbiyah. Sebagai contohnya bahan-bahan yang menyentuh permasalahan semasa yang berlaku dalam masyarakat, pengetahuan ’am dan fikrah ’am. Bahan-bahan ini disampaikan secara waki’i, kreatif memberangsangkan dan tidak jumud. Penyampaian sebegini akan menarik perhatian anggota-anggota usrah kerana ia disampaikan dalam keadaan yang hidup. Oleh itu murabbi perlu membuat persediaan yang sebaik-baiknya. Tujuannya ialah:

(a)  Agar pertemuan usrah bermanfaat bagi anggota.

(b)  Agar anggota ingin bersegera menghadiri usrah.

(c)  Agar anggota tidak merasa bosan, bahkan menunggu-nunggu untuk menghadiri usrah akan datang.

ii)      Manhaj pembelajaran khas

Murabbi perlu menyedari bahawa peningkatan dan kesediaan fitrah anggota-anggota adalah tidak sama. Mereka mempunyai keperibadian dan tabi’at yang beragam. Justeru itu manhaj khas perlu disediakan untuk mereka demi mera’ikan perbezaan-perbezaan – misalnya dalam aspek keperluan tarbiyah, ilmu pengetahuan, kesediaan jiwa dan keaktifan berda’wah. Potensi-potensi yang ada pada mereka perlu digerakkan dan dikembangkan ke arah kebaikan secara seimbang.

Kadang-kadang murabbi mendapati  seorang anggotanya sangat kuat membaca dan berfikir dalam hal-hal barkaitan fikri, dan tidak mahu aktif berda’wah. Anggota ini berbeza dengan saudaranya yang lain yang tidak gemar membaca (sebaliknya aktif berda’wah). Maka, murabbi perlu faham keadaan mereka. Murabbi perlu membekalkan manhaj pembelajaran khas agar anggota-anggota tidak terabai atau tidak meninggalkan usrah.

Bagi anggota sangat berminat dengan ilmu, murabbi perlu taklifkan ke atasnya amal-amal da’wah dan kerja supaya peningkatan dirinya dapat diseimbangkan.

Manakala bagi anggota yang tidak minat membaca, murabbi perlu taklifkan kepadanya tugas-tugas membaca dan mengkaji (di samping beliau kekal di dalam amal-amal da’wah).

Murabbi perlu bijaksana mentawazunkan peningkatan anggota-anggotanya agar tidak keterlaluan dalam aspek fikri sahaja dan tidak juga keterlaluan dalam aspek da’wi sahaja.

b)     Mempelajari suluk (akhlak) dan mengamalkan prinsip-prinsip asas dalam tarbiyah Islamiyah

Murabbi perlu membersihkan jiwa anggota dengan cara mengajar tentang suluk (akhlak peribadi). Contohnya membersihkan anggota daripafa sifat boros dan bakhil. Langkah pertama pembersihan ialah murabbi hendaklah menjadi qudwah hasanah. Keberkatan tarbiyah terletak pada pelaksanaan dan kecontohan pada diri murabbi. Pada hakikatnya anggota akan melihat da’wah dan harakah dari sudut keperibadian murabbi.

Antara ciri-ciri yang perlu ada pada diri murabbi ialah:

i)        Murabbi perlu menjadi seorang yang hasanah (baik) dalam amalan-amalan hariannya. Beliau bersungguh-sungguh dalam kerja, peka menjalankan segala perintah kepimpinan dan mengamalkan uslub yang baik dalam bermuamalah. Amalnya, taqwanya dan kesedarannya adalah berbentuk haraki. Anggota-anggota akan mempersaksikan semua ini secara berterusan.

ii)      Murabbi perlu bersungguh-sungguh memelihara peningkatan diri secara seimbang (dalam aspek ruhi, fikri dan amali).

iii)     Manakala dalam aspek organisasi, murabbi bersungguh-sungguh melaksanakan perancangan-perancangan dan perintah-perintah harakah. Pelaksanaan beliau adalah pada kadar yang lebih banyak daripada orang-orang bawahannya. Beliau lebih banyak menjalankan amalan-amalan yang produktif untuk mencapai matlamat harakah

Murabbi memiliki kelebihan dalam pelbagai aspek melebihi anggota-anggota. Murabbi seumpama ini akan menggerak atau mengaktifkan anggota yang suka berdiam tanpa berkerja.

Dengan kewujudan barisan murabbi sebegini dalam harakah Islamiyah, bukan sahaja menyebabkan anggota-anggota akan merasai terkesan, bahkan masyarakat juga  akan merasai bermanfaat daripada kewujudan harakah tersebut.

Jika murabbi suka berehat-rehat, maka ini akan memberi alasan kepada anggota-anggota lain untuk berehat-rehat dan bersantai. Oleh itu, suatu yang wajar bagi murabbi untuk memperbanyakkan tazkir diri seperti membaca kitab-kitab yang boleh melembutkan hati dan peringatan-peringatan yang boleh menolak dirinya untuk dinamik, aktif dan beramal jama’i.

Kajian semula terhadap usrah perlu supaya ia tidak menjadi perjumpaan rutin mingguan semata-mata, yang tidak nampak perubahan dari segi ilmu, akhlaq, aktiviti berharakah dan contoh mithali. Juga supaya usrah itu dapat memperkayakan maklumat dan mendalami ilmu (thaqafah) yang meliputi thaqafah istibanah  (ilmu syara’  dan ilmu realiti) dan thaqafah tanfiz (ilmu pelaksanaan). Untuk memperkayakan ilmu syara’, perlu belajar ilmu tentang al-Qur’an (ulumul qur’an), sunnah (hadith), fiqh, bahasa arab, sirah, fiqh da’wah dan sebagainya. Di samping itu, usrah jua perlu meransang pembinaan akhlaq mulia dan saling hormat-menghormati.

Bahan tarbiyah ini adalah bimbingan dari Ustaz Dato’ Dahlan bin Mohammad Zain (Syeikh Abu Muhammad), semoga dapat dimanfaatkan bagi memantapkan perjalanan halaqah / usrah kita, insyaAllah.

2 thoughts on “Usrah Dan Pengendaliannya (2)

  1. Asaalamualikumwarahmwtullahiwabarakatuh’

    syukran &jazakallah,
    kami baru nak belajar buat usrah dekat sek. men
    moga Allah mempermudahkan jalan terutama dalam mentarbiah hati dan nak mencari naqib yang terpelajar. kalau tak jumpa harap ustazah boleh handle. amin….

Leave a comment