7 Langkah Menghindari Kerosakan Ukhwah

canon 1 007

Muqaddimah

Ukhuwwah adalah suatu nikmat yang manis. Ukhuwwah yang benar dan sah lahir dari iman. Persaudaraan atau kasih sayang yang lahir dari perasaan ta’sub kesukuan dan kebangsaan adalah ukhuwwah palsu yang tidak mendapat tempat di sisi Allah Subhanahuwataala.

Iman bagi seseorang yang tidak  melahirkan ukhuwwah menunjukkan dua kemungkinan:

1. Imannya palsu

2. Imannya benar tetapi diserang oleh penyakit tertentu yang menyebabkan ia tidak berupaya menghasilkan natijah.

Kita, yang beriman kepada Allah Subhanahuwataala hendaklah berwaspada daripada kemungkinan kedua di atas.

Tujuh langkah menghindari kerosakan ukhuwwah

Allah Subhanahuwataala, dalam surah Al Hujurat, telah memaparkan tujuh langkah untuk menghindari kerosakan ukhuwwah, iaitu:

 1. Tabayyun (تبين )

Tabayyun bererti mencari penjelasan maklumat. Yakni, mencari bukti kebenaran sesuatu maklumat yang diterima. Sikap terburu-buru menerima sesuatu maklumat mengenai saudara seIslam boleh mengakibatkan kerosakan ukhuwwah.

Musuh Islam memang cemburu melihat ukhuwwah yang terjalin rapi. Mereka akan menghebahkan sesuatu berita dengan tujuan untuk memporak-purandakan ukhuwwah orang-orang Islam. Di samping itu, disebabkan kelalaian atau kecuaian, seseorang muslim mungkin juga akan menghebahkan sesuatu berita yang boleh mencemarkan ukhuwwah di kalangan orang Islam. Atau, memburukkan lagi keadaan ukhuwwah yang telah sedia terganggu.

Di sinilah perlunya sikap tabayyun.  Sehinggalah maklumat atau berita yang tidak betul dapat dibendung dari awal-awal lagi. Allah Subhanahuwataala berfirman:

“Wahai orang-orang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

(Al Hujurat (49) : 6)

Ayat ini mempunyai hubung kait dengan kisah hadithulfik (berita dusta) yang menimpa Sayyidah ‘Aisyah yang cukup menggoncangkan keadaan di zaman Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam.

Kalau berita yang datang daripada orang fasiq harus diteliti, maka apatah lagi berita yang dihebahkan oleh musuh-musuh Islam yang nyata seperti yahudi, musuh dari barat dan seumpamanya.

Continue reading