Dakwah Kepada Tokoh Masyarakat

Ramai da’i yang mencurahkan segala potensinya untuk menangani permasalahan masyarakat tertentu, tetapi mereka melupakan dakwah kepada tokoh masyarakat yang berpengaruh besar dalam kehidupan sosial. Sesungguhnya, menaruh perhatian pada tokoh-tokoh masyarakat akan memperluaskan jalan dakwah. Ini kerana kebanyakan para tokoh masyarakat yang jauh dari sentuhan dakwah inilah yang sering menentang dan salah sangka dengan dakwah kita, kerana ketidaktahuannya terhadap hakikat dakwah.

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik, dalam menggerakkan dan mengurus dakwah. Keberhasilannya dalam mengajak manusia kepada agama Allah SWT sudah terbukti. Antara pendekatan dakwah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW adalah mendakwahi tokoh-tokoh masyarakat yang ada di Mekah. Rasulullah SAW sangat memahami perkara ini sehingga Baginda SAW pernah berdoa,

“Ya Allah berilah ‘izzah (tinggikan) Islam ini dengan masuknya salah satu dari dua Umar yakni Umar bin Hisyam (Abu Jahal,) atau Umar bin Khathab.”

Kedua-duanya adalah musuh utama dakwah sewaktu Islam muncul pertama kali di Mekah. Pada prinsipnya dakwah senantiasa perlu kepada semua orang.  Hendaklah kita sentiasa renungkan kata-kata bijak ini;

“Ya Allah, jika dakwah ini mendapat tanggapan baik dari masyarakat, maka jadikanlah seseorang sebagai pemimpin. Allah akan memperbaiki keadaan masyarakat melalui kebaikan pemimpinnya.”

Menurut Syeikh Abbas As-Siisi, orang-orang seperti inilah yang akan mencurahkan segala potensi dan waktunya untuk mendukung dakwah Islamiah. Islamnya Umar bin Khathab RA telah membawa keuntungan besar dalam penegakan risalah Islam. Apatah lagi beliau telah memberikan sumbangan dengan kemenangan-kemenangan besar bagi dakwah. Setelah beliau menjadi khalifah, keadilan benar-benar ditegakkan, sehingga namanya dikenali di seluruh penjuru bumi.  Anugerah Allah itu memang agung. Maha Benar Allah SWT yang telah berfirman:

“Dan mereka diberi petunjuk kepada ucapan-ucapan yang baik dan ditunjuki (pula) kepada jalan (Allah) yang terpuji.” (Al-Hajj: 24)

Seorang lagi tokoh awal dalam masyarakat Quraish yang didakwahi oleh Rasulullah SAW ialah Abu Bakar RA.  Penyertaan Abu Bakar dalam perjuangan dakwah Rasulullah SAW. ternyata  mampu melebarkan dakwah di kalangan para elit Quraisy. Menurut keterangan seorang sejarawan yang bernama Ibnu Ishak, hadirnya  Abu Bakar dalam dakwah Rasulullah SAW telah berhasil menghimpunkan tokoh-tokoh Quraisy yang lainnya ke dalam barisan dakwah Rasulullah SAW, antaranya Usman bin Affan, Abdurrahman bin Auf, Zubair bin Awwam , Saad bin Abi Waqas dan Thalhah bin Ubaidillah. Keenam sahabat inilah yang memiliki peranan penting dalam membentuk generasi assabiquunal awwalun ( generasi pertama Islam ).

Sesungguhnya pendekatan dakwah kepada tokoh masyarakat merupakan langkah bijak sebelum dakwah dapat dimulakan secara lebih mendalam terhadap masyarakat dalam sesebuah komuniti.  Dari merekalah (tokoh masyarakat) kita mendapatkan informasi-informasi tentang realiti dan keadaan komuniti mereka baik dari segi ekonomi, latarbelakang, status sosial, pendidikan, karakter, sehinggalah kepada kefahaman dan penerapan nilai agama dalam kehidupan mereka seharian.

Apabila dakwah kepada tokoh setempat sudah dimulai, maka insyaAllah selanjutnya kita akan dapat menerobos ke dalam masyarakat untuk melakukan kajian dan pemerhatian secara langsung mengenai keadaan masyarakat yang menjadi objek dakwah. Inilah kesempatan untuk menggali informasi sebanyak mungkin tentang keadaan masyarakat pada umumnya. Seterusnya kita akan dapat menentukan acuan, langkah dan pendekatan yang sesuai diterapkan dalam berdakwah kepada komuniti tersebut.

Dakwah kepada sesebuah komuniti masyarakat mungkin tidak mendapat respon yang baik sekiranya tokoh masyarakat di komuniti tersebut tidak kita dekati dengan hikmah dan melayani mereka sebaik mungkin. Syeikh Abbas As-Siisi berkongsi  satu kisah dalam bukunya “Bagaimana Menyentuh Hati” yang boleh menjadi pelajaran kepada kita;

Ada sekelompok pemuda di sebuah kampung ingin mendirikan projek kebajikan sosial untuk masyarakat setempat. Mereka mengajak masyarakat menyertai projek tersebut, antaranya membina masjid, madrasah, pusat asuhan, dan perpustakaan. Ternyata tidak lama kemudian sebahagian masyarakat menentang projek ini. Sehingga terjadi perselisihan yang sengit antara pihak pemuda dengan masyarakat. Puncanya, pemimpin di kampung tersebut tidak mendapat sebarang makluman atau taklimat berkenaan projek tersebut. Seorang tokoh masyarakat akan merasa keberatan memberikan sokongan terhadap sesebuah program jika tanpa penglibatan dan pengetahuannya. Ini kerana dia adalah tokoh masyarakat kampung tersebut, maka sudah seharusnya para pemuda tersebut menghormati dan menghargainya.

Justeru para da’i perlu merancang usaha mendekati tokoh masyarakat dengan hikmah dan bijaksana. Dalam pengalaman dakwah As-Syahid Hassan Al Banna, beliau amat menghormati dan sering mendekati tokoh-tokoh masyarakat sesuai dengan posisi mereka di dalam masyarakat. Al Banna mengadakan pendekatan bersama mereka dengan bahasa yang baik dan amal-amal kebaikan, dengan cara ini mereka mencintai dan menghargainya. Diantara yang dilakukan oleh Al Banna adalah menghilangkan sebab atau punca perselisihan dan permusuhan diantara mereka. Dalam hal ini Al Banna berhasil dan mendapat penghargaan dari mereka. Firman Allah SWT:

“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” (An Nahl: 125)

 

Justeru diharapkan dapatlah kita fahami akan kepentingan dakwah kepada golongan tokoh masyarakat dalam menjayakan misi dakwah yang suci dan bersih ini.

 

Rujukan:

i.                     Abbas As-Siisi, Bagaimana Menyentuh Hati.

ii.                   Perkongsian pengalaman dakwah di perkampungan miskin di Bachok anjuran HALUAN Kelantan.

iii.                  Biografi Imam Hassan Al Banna

iv.                 Fiqh Serah, Syeikh Ramadhan Al-Bouti

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s