Mu’alajatul Futur

Muqaddimah

Futur bererti berhenti setelah beramal atau diam setelah bergerak. Futur juga bererti malas bekerja dan lemah.

Futur adalah penyakit yang menimpa sebahagian daripada pekerja islam. Penyakit ini sering atau kadang-kadang timbul dalam reality kini. Paling minima futur yang menimpa pekerja Islam ialah malas. Dan yang paling parah ialah berhenti atau diam daripada aktif dalam amal Islami.

Makhluk yang tidak pernah futur adalah Malaikat. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan kepunyaan-Nya-lah segala yang di langit dan di bumi dan malaikat-malaikat yang di sisi-Nya, mereka tiada mempunyai rasa angkuh untuk menyembah-Nya dan tiada (pula) merasa letih.

Mereka selalu bertasbih malam dan siang tiada henti-hentinya.”

(Al-Anbiya’: 19, 20)

Manusia walaupun memiliki pelbagai kelemahan, namun manusia boleh menjadi lebih tinggi daripada malaikat kerana manusia mempunyai akal dan boleh melakukan jihad. Sebaliknya manusia juga boleh menjadi lebih rendah daripada haiwan.

Merawat futur

Futur memberi kesan yang buruk kepada orang Islam, khususnya kepada pekerja-pekerja Islam. Antara cara-cara untuk merawatnya adalah:

1.       Menjauhkan diri daripada melakukan dosa dan kejahatan sama ada besar atau kecil. Dosa yang kecil tidak boleh dipandang ringan kerana dosa ibarat racun. Dosa meracuni hati. Dosa merosakkan kejernihan hati. Hati menjadi lemah bila diganggu oleh racun-racun dosa. Titik-titik hitam dosa menutupi hati hingga lama-kelamaan hati menjadi hitam.

Keterlibatan seseorang dengan suatu dosa boleh mengakibatkan Allah murka. Seseorang yang dimurkai Allah akan ditimpa kecelakaan.

2.       Terus-menerus melakukan amalan-amalan harian yang soleh. Amalan soleh bermula dengan yang wajib hinggga yang sunat. Amalan itu terus dilakukan mengikut jadual (istiqamah).

Amalan soleh merupakan zat atau makanan. Rohani memerlukan makanan sepertimana badan memerlukan makanannya tersendiri. Amalan-amalan harian itu dapat menyegarkan keimanan kepada Allah SWT.

3.       Sentiasa merebut masa-masa yang baik. Menghidupkan masa-masa tersebut dengan menta’ati Allah seperti di waktu malam, hari Jumaat dan seumpamanya.

Selepas menunaikan solah kita perlu berdoa kepada Allah SWT. InsyaAllah dengan cara ini jiwa akan kuat.

4.       Membebaskan diri daripada melampau dalam din. Dalam sirah, ada sahabat yang ingin berpuasa terus-menerus. Ada yang ingin sembahyang malam terus-menerus tanpa tidur. Tetapi Rasulullah SAW tidak izinkan dan amalan-amalan itu dianggap melampau dalam din.

Sebenarnya, perjalanan kita jauh. Kita perlu bijaksana gunakan tenaga yang terbatas supaya dapat menempuh jalan itu. Dan supaya dapat istiqamah tanpa letih di pertengahan jalan.

5.       Memberi perhatian kepada sunnah Allah SWT yang berlaku kepada dunia. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Tiadalah yang mereka nanti-nantikan melainkan (berlakunya sunnah Allah yang telah berlaku) kepada orang-orang yang terdahulu. Maka sekali-kali kamu tidak akan menemui perubahan bagi sunnah Allah dan sekali-kali tidak (pula) akan menemui penyimpangan bagi sunnah Allah itu” (Fathir : 43)

Kita perlu membaca kisah anbiya’ dan mengetahui faktor-faktor kejatuhan sesuatu umat. Sebab apa sesuatu ummah seperti generasi para sahabat, menjadi ummah terbaik. Dan sebab apa sesuatu ummah itu Allah hancurkan.

6.       Sentiasa berhati-hati dan bersedia menghadapi halangan-halangan di jalan da’wah. Berhati-hati dan bersedia sejak di awal-awal lagi. Janganlah, apabila berjumpa halangan-halangan, barulah terkejut dan kelam-kabut. Di tahap awal, biasanya ujian Allah SWT kecil. Ujian Allah SWT sesuai dengan mustawa. Apabila ditanya Rasulullah SAW mengenai orang yang paling berat menerima, maka baginda menjelaskan bahawa yang paling berat diuji ialah anbiya’, diikuti orang yang kemudian dan kemudian…”

7.       Berhati-hati dan teliti. Bekerja mengikut manhaj. Bekerja mengikut prioriti. Bekerja dengan mendahulukan yang utama. Kita tidak boleh terbawa-bawa dengan kerja-kerja sampingan. Kita tidak boleh hanyut dengan masalah yang remeh-temeh.

8.       Sentiasa berkawan dengan orang-orang yang soleh dan mujahid di kalangan orang-orang mukmin. Hadis Rasulullah SAW yang bermafhum: “Kamu janganlah bersahabat kecuali dengan orang-orang mukmin.” Yakni orang-orang yang soleh dalam pengertian syumul. Orang-orang yang berjihad dalam ertikata luas. Orang-orang yang sanggup berkorban apa saja untuk menegakkan din Allah SWT.

Kata Hassan Al-Basri,

“Apabila ulama’ mengumpulkan harta yang halal, maka orang awam akan mengumpulkan harta yang syubhat. Apabila ulama’ mengambil yang syubhat, maka orang awam akan mengambil yang haram. Apabila ulama’ mengambil yang haram, maka orang awam akan kufur”

9.       Memberikan hak-hak badan seperti berehat. Bukanlah bererti seperti yang difahami umum. Rehat di sini ialah rehat dalam rangka membina kekuatan untuk bekerja seterusnya. Janganlah badan kita langsung tidak diberikan hak berehat. Tubuh perlukan keadilan.

Begitu juga, kita perlu memakan makanan yang sesuai, seimbang, berzat dan berkualiti. Namun kita tidak boleh makan secara melampaui batas. Kita boleh mengambil contoh seperti seekor kuda perang. Ada masa dia perlu berehat dan makan.

Kita hendak bekerja dan berjalan terus menerus. Kerja-kerja kita lahir dari dorongan iman. Kita tidak mahu kerja yang begitu bersungguh-sungguh, tetapi hanya sekejap sahaja, selepas itu letih dan berhenti.

10.   Memberi peluang kepada diri untuk melakukan perkara-perkara yang harus seperti meraikan keluarga, berenang dan bersukan. Namun ini semua tetap dalam rangka tarbiyyah.

11.   Sentiasa melihat, membaca dan mengkaji buku-buku seperti buku-buku sirah dan sejarah pejuang-pejuang Islam. Kisah-kisah tokoh penting, mujahid dan ulama’ perlu didalami agar memberikan dorongan kepada ktia.

12.   Mengingati mati  dan peristiwa yang akan berlaku selepas kematian. Di alam barzakh setiap orang akan didatangi dua malaikat. Malaikat akan menyoal dan bertindak dengan izin Allah SWT. Rasulullah SAW ada menjelaskan bahawa di akhirat nanti, manusia akan dibangkitkan dalam tiga keadaan:

a.       Dalam keadaan menaiki kenderaan

b.      Dalam keadaan berjalan kaki

c.       Dalam keadaan berjalan dengan muka

Mendengar penjelasan itu, ada sahabat bertanyakan baginda: “Bagaimanakah berjalan dengan muka ya Rasulullah”. Jawab baginda, “Allah berkuasa menjadikan kamu berjalan dengan kaki, maka Allah juga berkuasa menjadikan kamu berjalan dengan muka”.

Begitu juga mengingati peristiwa-peristiwa di Padang Mahsyar. Ada manusia yang berteduh di bawah bayangan ‘arasy, ada manusia yang lemas dalam peluh dan sebagainya.

13.   Mengingati syurga dan neraka. Akhirat adalah tempat yang kekal. Syurga adalah tempat tinggal yang lebih baik. Perlulah kita selalu melihat hadis-hadis yang mengisahkan tentang nikmat syurga dan azab neraka. Seperti azab yang paling ringan di neraka ditanggung oleh bapa saudara Nabi SAW iaitu Abu Talib, di mana bara api diletakkan di bawah kakinya hingga menyebabkan otaknya mendidih (na’uzubillah).

Tidak menjadi kesalahan sekiranya kita beramal kerana inginkan syurga atau kerana takutkan neraka.

14.   Menghadiri majlis ilmu. Ilmu menghidupkan mati. Mendapatkan ilmu adalah sebahagian daripada tarbiyyah Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Ketahuilah, sesungguhnya tidak ada Ilah melainkan Allah”

Sesiapa yang bertambah ilmu tetapi tidak bertambah hidayah Allah terhadapnya, maka dia semakin jauh daripada hakikat kebenaran.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’.” (Fathir : 28)

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“…dan katakanlah: Ya Rabbku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan” (Thooha: 114)

15.   Mengambil dan menghayati Islam secara keseluruhannya. Bukan secara serpihan atau juz’i.

Oleh : Almarhum Ustaz Abdullah Akhili

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s