Sikap Da’i Mithali (1): Thabat Dalam Perjuangan

Ibarat laut tidak bertepi, begitulah fitrah perjuangan tidak pernah akan selesai dalam berdepan dengan pelbagai cubaan, ujian dan kematangan, khususnya buat para duah dan harakah Islam. Para duah akan berhadapan dengan cabaran dan ujian dari dalaman dan luaran persekitaran mereka. Cabaran dalaman, mereka akan bertempur dengan gejolak hawa nafsu, kematangan pemikiran serta gundah gulana jiwa dan perasaan sendiri.  Cabaran dari luar pula, para da’i akan menghadapi musuh dan sengketa dari pelbagai pihak, khususnya dari golongan yang tidak mahu melihat Islam bertapak dan berkembang menjadi risalah kehidupan dan mentadbir alam ini.

Namun janganlah para duah merasa lemah dengan segala macam ujian dan mehnah yang melanda. Sesungguhnya ujian dan mehnah yang melanda dalam kehidupan para da’i adalah merupakan petanda dan signal kecintaan Allah terhadap mereka. Rasulullah saw. berpesan”

“Sesungguhnya jika Allah mencintai suatu kaum maka ia akan mengujinya.”

Selain itu, Allah swt. tidak akan meninggalkan para duah yang ikhlas keseorangan dalam menghadapi ujian, cubaan dan mehnah. Allah swt. menjadikan al-Quran yang mampu mengubati jiwa-jiwa ini secara halus dan mendalam.  Terapi Rabbani ini dahulu telah dipraktikkan oleh generasi yang berpegang teguh pada agama ini sehingga mereka berhasil menyandang kemuliaan di sisi Allah swt.  Terapi tersebut terdapat dalam surah al-Anfaal, ayat 45-46.

Firman Allah swt:

“Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu bertemu Dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi Segala kesukaran Dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang sabar.” (al-Anfaal:45-46)

1.Thabat

Salah satu sikap yang harus dimiliki oleh seorang muharrik adalah thabat, iaitu ia harus selalu berusaha untuk tetap konsisten dalam kebenaran , teguh memikul beban dakwah yang sentiasa berhadapan dengan kesempitan dan kesulitan dalam perjuangannya. Dia tetap tegak berdiri di atas jalan dakwah dan sentiasa memelihara proses tarbiah dirinya berjalan samada dalam keadaan suka, duka, senang, perit, lapang, sibuk, muda dan tua. Samada bersama pengikut yang ramai atau saat tiada pengikut seorangpun, perjuangannya tetap berjalan membela agama Allah swt.

Sebagaimana yang diungkapkan dalam ayat di atas, sikap thabat akan menjadi kunci penentu keberhasilan yang seterusnya. Di antara bukti peristiwa dalam hal ini adalah hancurnya dinding thabat beberapa orang dalam pasukan Islam ketika melihat ghanimah pada peperangan Uhud.

Continue reading

Ramadhan Mendidik Kesabaran

Antara ciri orang bertaqwa ialah mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dalam menghadapi sebarang cubaan dan ujian daripada Allah sehingga imannya semakin kuat. Oleh itu ibadat puasa merupakan antara proses dalam menanam kukuh sifat sabar dalam diri umat Islam. Rasulullah saw ada bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

“Puasa itu sebahagian daripada sabar”

Sabda Nabi saw. lagi:

“Bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah masuk syurga.”
Sabar juga adalah sebahagian daripada iman sebagaimana sabda nabi dalam sebuah hadis

“Sabar itu sebahagian daripada iman”

Sabar adalah inti ajaran Islam dan iman. Bersabar ertinya mengendalikan dan memaksa nafsu untuk melaksanakan ketentuan syariat. Sabar adalah saudara dari syukur, kerana syukur tidak akan sempurna tanpa kesabaran.

Barangsiapa yang bersabar, maka ia telah bersyukur atas nikmat Allah swt. yang dikurniakan kepadanya.

Kesabaran memiliki pelbagai keutamaan dan manfaat. Allah swt. berfirman dalam surat Az-Zumar:10

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang akan dibalas dengan pahala tanpa batas.”

Continue reading