Usrah Dan Pengendaliannya (1)

Bahan tarbiyah ini adalah bimbingan dari Ustaz Dato’ Dahlan bin Mohammad Zain (Syeikh Abu Muhammad), semoga dapat dimanfaatkan bagi memantapkan perjalanan halaqah / usrah kita, insyaAllah.

……………………………………………………………………………………………………………

MUKADIMAH

Usrah telah diperkenalkan oleh Hasan Al-Banna sejak awal penubuhan Ikhwanul Muslimin (tahun 1928). Sehingga kini memang banyak pihak memperkatakan tentang usrah. Tajuk ini akan menjelaskan tentang konsep dan hakikat usrah serta apa yang perlu diisi di dalamnya.

Usrah dianggap sebagai tulang belakang bagi pembinaan harakah Islam (pergerakan Islam). Malah, dalam teori pengurusan usrah terbaru, sekiranya sistem usrah diuruskan dengan baik, maka ia adalah asas bagi melahirkan kewibawaan dan pengurusan harakah yang terbaik. Ini kerana pelbagai aktiviti dan kegiatan da’wah dalam pelbagai suasana dapat dilaksanakan melalui usrah.

Usrah dianggap sebagai  institusi pendidikan yang lengkap bagi melaksanakan proses ta’lim, tarbiyah dan melahirkan individu-individu mithali.

Dalam  institusi usrahlah bermulanya kerja-kerja da’wah ke dalam masyarakat. Melalui institusi usrahlah terlaksana penyediaan dan pembinaan anggota-anggota selaras dengan manhaj yang disediakan. Melalui usrah lahir rasa masuliyah dan persefahaman di kalangan anggota untuk memikul tanggungjawab dan tuntutan ’amal Islami.

Usrah merupakan sebuah kompleks pendidikan yang lengkap. Terlaksana di dalamnya pelbagai aktiviti seperti bantu membantu menjalankan tugas, mengumpul maklumat dan mengasah bakat anggota-anggota.

Continue reading