Anjakan Paradigma Dari Pengalaman Hidup Seorang Murabbi

Salam… Perkongsian dari al Akh Cikgu Azmi Bahari, sepetang bersama Murabbi mithali.

Selesai saja solat asar… saya, isteri dan beberapa pelajar khassah puteri terus bergerak ke rumah Ustaz Dahlan seorang murabbi yang saya letakkan ditempat yang istimewa di hati saya dan saya yakin bukan saya seorang saja yang merasainya sebagai insan istimewa bahkan ribuan insan lain.

Hajat saya hanya untuk ziarah dan tentunya menziarahi orang yang sedang sakit tidak seharusnya berlama-lama. Ketika dalam perjalanan saya merancang untuk ziarah tidak lebih dari 15 minit memandangkan keadaannya yang agak lemah ketika saya menziarahinya lebih seminggu lepas di HUKM. Namun apabila sampai di rumahnya lain pula jadinya. Sampai di rumahnya, baru sempat duduk sekejap saya terus kebelakang rumahnya untuk menangkap beberapa ekor ikan keli yang dibela di dalam kolam yang dibuat dari tangki poly. Walaupun ikan keli ini memang kegemaran saya namun itu bukanlah alasan utama hingga kaki tanpa disedari terus melangkah ke kolam ikan itu, bukan juga kerana pelawaan bertubi-tubi dari anak ustaz, Ustazah Amani. Tetapi kerana ikan-ikan itu adalah peliharaan arwah Ummi Halimatun isteri Ustaz seorang yang benar-benar telah jadi ‘Ummi’ kepada pelajar-pelajar MATRI dan sebahagian besar dari guru-guru MATRI. Setelah selesai urusan saya dengan ikan keli ‘istimewa’ itu saya terus duduk di samping Ustaz dengan niat ‘sekejap’ saja kerana takut menganggu masa rehat Ustaz walaupun kalau ikutkan hati saya memang ingin duduk lama bersama Murabbi Istimewa ini.

Ternyata ianya tidak seperti yang dirancang, Ustaz mula bercerita kisah silamnya sejak kecil hingga saat ia terlantar sakit. Wajahnya begitu ceria dan bersemangat bahkan tidak ada banyak ruang untuk saya mencelah. Kerana takut tindakannya itu kerana ingin meraikan tetamu saya cuba beri isyarat seolah-olah ingin pulang supaya Ustaz dapat berehat, namun isyarat saya itu seperti tidak diendahkan. Sayapun apa lagi, bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal saya terus perkemaskan duduk dan mendengar dengan penuh minat. Walaupun kisah-kisahnya telah beberapa kali saya dengar dari bibirnya namun saya tidak rasa jemu bahkan ingin mendengarnya berulang kali.
Continue reading