Halatuju Tarbiah Menurut IM

Menyebut tentang tarbiah di kalangan aktivis dakwah dan gerakan Islam seringkali dikaitkan dengan Ikhwanul Muslimun (IM) atau menyertakan bersama muassis gerakan ini iaitu Hasan al-Banna, pendiri jamaah Ikhwan. Ikhwan telah diakui menjadi sumber inspirasi arus kebangkitan Islam abad ke-20 sejak tertubuhnya pada tahun 1928 oleh sang pendiri yang berusia 22 tahun ketika itu. IM menyakini bahawa untuk mengembalikan kembali kepimpinan umat Islam sebagai peneraju dan guru dunia melalui gagasan khilafah islamiah menerusi kesyumulan islam (syumuliyatul islam) iaitu Islam sebagai satu sistem ajaran yang lengkap serta menyentuh seluruh segi kehidupan.

Islam adalah…”negara dan tanahair, pemerintahan dan umat, akhlak dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan kehakiman, sebagaimana ia adalah aqidah yang lurus dan ibadah yang benar.” (Risalah al-Ta’alim, Hasan al-Banna

Seawal sejarah IM, as-Syahid Imam Hasan al-Banna telah menyerukan secara lantang bahawa peringkat atau tahapan aktiviti dalam IM berlangsung dalam fasa ta’rif (pengenalan), takwin (pembentukan) serta tanfizh (pelaksanaan) dan setiap fasa tersebut akan hanya tegak dengan tarbiah. Ikhwan menjadikan tarbiah islamiah sebagai teras kepada kebangunan semula gagasan kebangkitan semula ummah ini.

Tarbiah Islamiah menurut catatan IM ialah “cara ideal dalam berinteraksi dengan fitrah manusia, baik secara langsung melalui kata-kata mahupun secara tidak langsung dalam bentuk keteladanan, sesuai dengan sistem dan wasilah khusus yang diyakini, untuk memproses perubahan dalam diri manusia menuju keadaan yang lebih baik.”

Umumnya ia bermakna proses mempersiapkan seseorang dengan persiapan yang menyentuh seluruh aspek kehidupannya meliputi rohani, jasmani dan akal fikiran. Proses menyiapkan manusia yang salih (baik pada peribadi) dan muslih (memperbaiki orang lain) dalam suatu keseimbangan potensi, tujuan, ucapan dan tindakannya secara keseluruhan.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah:143 sebagaimana yang disyarah oleh Allamah Maududi rh. di dalam ceramah Syahaadatul-Haq beliau :

“Dan demikianlah (pula) Kami jadikan kamu (umat Islam) umat yang yang adil dan pilihan (wasothan).”

Tujuan atau sasaran (ahdaf) tarbiah islamiah secara umumnya adalah untuk menciptakan satu keadaan atau kondisi yang kondusif bagi manusia untuk dapat hidup di dunia secara lurus dan baik, serta hidup di akhirat dengan naungan redha Allah dan pahala Allah SWT. Ianya dapat dihuraikan di dalam lima perkara iaitu :

Pertama, ibadah kepada Allah semata-mata sesuai dengan syariat-Nya (rujuk adz-Dzariat:56) – tujuan pertama dan terpenting tarbiah islamiah. Ibadah menuntut wujudnya banyak unsur daripada seorang muslim iaitu antara lain unsur iman, unsur islam, unsur ihsan, unsur keadilan, unsur amar makruf nahi mungkar dan unsur jihad di di jalan Allah untuk menjadikan kalimah Allah sebagai yang tertinggi.

Kedua, tegaknya khilafah Allah di muka bumi (rujuk al-Baqarah:30; Hud:61) – ini menuntut aktiviti pemakmuran bumi dan pemanfaatan segala sesuatu yang Allah berikan untuk umat manusia. Oleh itu, berinteraksi dengan seluruh alam yang terbentang ini – dengan menggunakan potensi ilmu dan seluruh produk penemuan ilmiah yang baik – untuk mengambil manfaat sebesar-besarnya adalah kewajipan syarak dan merupakan tujuan pokok dari berbagai tujuan tarbiah islamiah bagi manusia.

Ketiga, saling mengenal sesama manusia (rujuk al-Hujurat:13) – penciptaan manusia yang beragam jenis, warna kulit, bahasa, suku, lelaki dan wanita adalah untuk saling berkenalan (li ta’aarafu), berkasih sayang dan saling membantu di bawah naungan persaudaraan. Setelah beriman kepada Allah SWT pula, hendaklah hidup di bawah satu aqidah yang benar dengan kehidupan yang penuh kasih sayang, saling menolong dan menasihati dalam kesabaran dan memperatkan hubungan itu agar semakin sempurna.

Keempat, kepimpinan dunia (rujuk an-Nur:55) – inilah janji Allah kepada orang-orang yang beriman dan beramal salih dengan 3 janji iaitu (1) mengangkat kekhalifahan mereka di bumi ini dan menjadikan untuk mereka kekuasaan yang dapat mengambil manfaat sebesar-besarnya seluruh nikmat bagi kehidupan dan kematian mereka. (2) pengukuhan kedudukan (tamkeen li deenillah) di bumi dengan Islam dan sistemnya. (3) menggantikan keadaaan umat dari rasa takut kepada rasa aman (di bawah keadilan Islam). Selama kaum muslimin berada jauh dari penguasaan dunia bermakna mereka jauh dari hakikat iman dan amal salih. Tarbiah islamiah berupaya – dengan segenap potensi yang dimiliki – untuk mengeluarkan umat manusia dari dosa dan kemaksiatan.

Kelima, menghukum dengan syariat. (rujuk al-Jatsiah:18; al-Maidah:49) – inilah tujuan inti dari empat tujuan di atas kerana semua tujuan di atas memang untuk menghalakan kepada tegaknya syariat Allah tanpa tawar menawar, terpisah-pisah apalagi bertolak ansur kepada sistem lain buatan manusia.

Inilah tujuan tarbiah islamiah secara global dan itulah juga tujuan Islam yang sebenarnya, baik aqidah, syariah, akhlak, dakwah, lembaga, sistem, perilaku mahupun jihadnya sekaligus dalam rangka menjadikan kalimah Allah sebagai yang tertinggi (kalimatullahi hiyal-’ulya). Ini semua hanya akan wujud dengan tarbiah ruhani, akal fikiran, fizikal, akhlak dan perilaku.

Tarbiah islamiah pula memiliki bidang cakupan yang bermula dengan membangun individu muslim, rumahtangga muslim, masyarakat muslim, umat muslimah dan negara Islam dengan sistem dan undang-undang yang harus ditegakkan di dalamnya.

Tarbiah di dalam manhaj IM memiliki kepentingannya tersendiri yang tiada taranya. Bagi IM, langkah yang paling efektif untuk proses pengislahan adalah pembinaan keperibadian muslim yang sesuai dengan nilai-nilai Islam dan sistemnya untuk menghantarkannya kepada suatu tujuan iaitu masyarakat muslim, umat muslimah, kemudian negara Islam yang menegakkan syariat Allah.

Tarbiah islamiah tidak sepi daripada memahami dan mendepani tuntutan-tuntutan realiti atau konteks semasa umat yang dinamik dalam kehidupan manusia. Ini melibatkan arus pemikiran dan peradaban yang melanda umat manusia, arus sistem nilai sosial dan politik, arus politik dan ekonomi, sarana-sarana kehidupan dan pola-polanya serta tradisi-tradisi kehidupan.

(disaring daripada kitab “Wasailut Tarbiah ‘inda Ikhwanil Muslimin (Dirasah Tahliliyah Tarikhiyah)” oleh Prof Dr Ali Abdul Halim Mahmud, 1990)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s