Q4: Membicarakan Kesalahan dan Aib Orang Lain

akhlakSalam, saya masih baru dalam program usrah. Saya pernah mengikuti usrah semasa belajar di luar Negara. Dalam usrah tersebut, naqib dan ahlinya selalu membicarakan kelemahan individu lain, khususnya dari jamaah/organisasi yang berbeza. Sebaliknya mereka mengatakan bahawa gerakan merekalah yang lebih benar dan betul. Apa pandangan tuan berkenaan perkara ini. (Muslimat Keliru – melalui email)

Salam kembali,
Penulis tidak mampu menjawabnya dengan sebaik mungkin. Semoga yang bertanya dapat juga bertanyakan permasalahan ini kepada para ulama yang lebih wibawa dan ikhlas dalam melaksanakan kerja-kerja menyeru manusia kepada Allah. Walaubagaimanapun penulis cuba mengupas permasalahan ini berdasarkan daripada tulisan-tulisan ulama-ulama muktabar.

Sebagai seorang dai’e, kita seharusnya sibuk dengan memuhasabah aib diri sendiri, tidak mencari-cari cacat cela orang lain dan sedia memaafkan kekhilafan mereka. Menurut seorang ulama zuhud, Syeikh as-Sarri as Saqathi al-Baghdadi dari Bashrah, beliau mengatakan adalah amat mendukacitakan dan mencemaskan apabila menjalarnya penyakit mencari-cari keburukan orang lain di tengah-tengah kelompok orang-orang yang sedang berjalan menuju Allah. Beliau pernah mengatakan:

”Aku tidak pernah melihat hal yang lebih mudah menghilangkan amal baik, lebih merosakkan hati, lebih cepat menghancurkan seorang hamba, lebih lama membuat sedih, lebih dekat pada laknat, lebih banyak membuat orang mencintai sifat riya’, ’ujb dan cinta kekuasaan…dari sedikitnya pengetahuan seorang hamba pada aib dirinya sendiri sedangkan ia hanya memandang aib orang lain.”

Continue reading