QUDWAH SEBELUM BERDA’WAH

[Tujuan bahan ini ialah supaya saudara memahami bahawa da’wah dan tarbiyyah mestilah didahului dengan qudwah dan amalan para da’i dan murabbi. Da’i dan murabbi perlu mengambil berat untuk mendidik dirinya agar memiliki contoh yang baik dan mengamalkan isi da’wahnya]

(QUDWAH SEBELUM BERDA’WAH)القدوة قبل الدعوة

Muqaddimah

Kitab+Ust+DarusPara pendidik dan du’ah ibarat pelita dalam kegelapan malam. Mereka adalah pemimpin yang membawa petunjuk kepada umat. Tanpa kehadiran mereka, kaum muslimin akan tenggelam dalam kejahilan dan menjadi ‘makanan’ syaithan dari golongan jin dan manusia. Para pendidik dan du’ah, dengan kekuatan imannya, menyeru manusia kepada Islam dengan lisan yang jujur, hati yang teguh dan akhlak yang mulia.

Contoh yang bergerak

Tingkahlaku dan amalan pendidik  adalah cermin kepada da’wah atau seruannya. Mereka adalah contoh dalam percakapan dan amalan. Mereka tidak bersembunyi daripada manusia, sebaliknya bergaul dengan manusia. Mereka tidak takut kepada siapa pun melainkan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Slogan mereka ialah:

“Perbaikilah dirimu dan serulah orang lain”

“Tegakkanlah daulah Islam di hatimu, nescaya ia akan tertegak di bumimu”

Seruan pendidik dilihat oleh manusia pada tingkahlakunya sebelum ucapan. Manusia tidak akan memisahkan antara da’wah dengan syakhsiyah pendidik sepertimana tidak terpisah antara rasul dengan risalahnya. Islam adalah da’wah dan syakhsiyyah yang sentiasa bertaut, seperti ruh dan jasad.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah contoh utama

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Sesungguhnya bagi kamu, pada diri Rasulullah terdapat contoh tauladan yang baik bagi seseorang yang mengharapkan Allah dan hari Akhirah dan banyak mengingati Allah.”
( Al Ahzab: 21 )

Menjadi kewajipan bagi seorang pendidik untuk mempelajari sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam kerana sirah baginda menceritakan tentang risalah dan syakhsiyyah.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah contoh untuk semua peringkat manusia pada semua dimensi. Akhlak baginda adalah al Qur’an. Baginda adalah sebaik-baik manusia. Baginda seorang abid pada waktu malam dan ahli siasah yang berhasil menyatukan umat manusia. Baginda seorang ahli peperangan yang mahir mengatur strategi peperangan dan seorang panglima di medan pertempuran. Baginda seorang ayah yang penuh kasih sayang dan lemah lembut. Baginda seorang suami yang berjaya mewujudkan mawaddah, rahmah dan ketenteraman dalam rumahtangga. Baginda seorang teman yang setia.  Baginda seorang jiran yang prihatin terhadap masalah tetangga. Baginda seorang hakim yang adil. Baginda seorang penguasa yang kasih kepada rakyat. Baginda menziarahi orang yang sakit. Baginda memberi bimbingan kepada manusia yang memerlukan hidayah dengan penuh kasih sayang.

Manusia melihat secara langsung isi da’wah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pada peribadi baginda sehingga hati mereka tergerak untuk menerima risalahnya. Baginda adalah seorang murabbi yang membimbing manusia dengan qudwah hasanah sebelum ucapan.

Prinsip da’wah yang akan kekal sepanjang zaman.

Qudwah sebelum berda’wah adalah prinsip da’wah yang akan kekal sepanjang zaman. Islam melihat bahawa kecontohan adalah ‘jalan’ da’wah dan ‘jalan’ tarbiyyah yang paling berkesan. Islam menetapkan sistem tarbiyyah yang berterusan mesti ditegakkan di atas prinsip qudwah hasanah.

Kesan pertama adalah daripada qudwah

Keperibadian anak kecil yang baik akan terbentuk daripada qudwah yang baik yang diperlihatkan oleh ibubapanya. Keperibadian manusia akan terbentuk daripada qudwah yang lahir dalam masyarakat. Keperibadian masyarakat pula akan terbentuk dengan qudwah daripada tokoh-tokoh dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Da’i memulakan tarbiyyah dengan dirinya

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berpesan kepada sahabat baginda supaya memiliki qudwah sebelum berda’wah. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mengutuskan Mua’dz bin Jabal sebagai da’i baginda ke Yaman. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Mu’adz bin Jabal menggabungkan antara taqwa dan akhlak yang mulia. Mu’adz berkata,

“Rasulullah pernah berwasiat kepadaku. Baginda bersabda:
“Wahai Mu’adz, aku wasiatkan kepada kamu agar bertaqwa kepada Allah, berkata benar, menepati janji, melaksanakan amanah, meninggalkan pengkhianatan, memelihara (hubungan) jiran, mengasihi anak yatim, berkata lembut, menyebarkan salam, beramal saleh, memendekkan angan-angan, sentiasa tetap beriman, memperdalamkan Al Qur’an, mencintai akhirat, merasa takut kepada hisab dan bersikap tawadhu’. Dan aku melarang kamu memaki orang yang bijaksana, mendustakan orang yang jujur, menta’ati orang yang berbuat dosa, menentang pemimpin yang adil, atau yang membuat kerosakan di bumi. Dan aku wasiatkan kepada kamu agar kamu bertaqwa kepada Allah ketika berada di samping batu, pokok dan rumah. Dan hendaknya kamu perbaharui – untuk setiap dosa – taubatnya, yang rahsia dengan rahsia dan yang terang dengan terang.”
(Riwayat Abu Na’im dan Baihaqi)

Seorang pendidik mukmin wajib memulakan sesuatu pada dirinya sebelum mengajak orang lain, agar dia menjadi qudwah amali yang dapat dicontohi oleh manusia lain.

Syaidina Ali berkata:
“Barangsiapa yang meletakkan dirinya sebagai pemimpin, maka hendaklah dia memulai dengan mengajar dirinya sebelum mengajar orang lain. Dan hendaklah dia membersihkan langkah hidupnya sebelum membersihkan lisannya. Kerana, orang yang mengajar dan membersihkan dirinya itu lebih berhak dimuliakan daripada orang yang mengajar manusia dan membersihkan mereka.”

Dalam realiti masyarakat kini, seseorang boleh menjadi pakar dalam bidang tertentu seperti doktor, pakar kimia, jurutera dan seumpamanya, tanpa berakhlak mulia. Ini kerana bidang ilmu seperti itu tidak memperdulikan permasalahan akhlak dan syakhsiyyah. Tetapi, keadaan ini berbeza dengan seorang penda’wah, pendidik atau pekerja Islam. Mereka wajib menjadi qudwah hasanah terhadap apa yang mereka da’wahkan. Jika tidak, maka ilmunya tidak akan bermanfa’at kepada manusia, da’wahnya tidak akan berkesan dan manusia tidak akan menghormatinya atau mendengar kata-katanya.

Di sinilah terletaknya hikmah ilahiyah agar ilmu din ini diambil dari seorang murabbi yang beriman, yang mendidik sehingga keimanan itu tumbuh dalam hati dan akhlak Islam itu terjelma dalam syakhsiyyah. Sebenarnya, beginilah cara Islam itu berkembang pada umat yang terdahulu.

Da’wah Islam memerlukan saf yang komited secara amali untuk berkembang

Islam tidak mungkin dapat disebarkan kepada manusia melainkan dengan terlebih dahulu adanya orang-orang yang beriman kepadanya dan komited melaksanakan segala peraturannya. Demi melahirkan saf yang komited inilah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam tampil sebagai qudwah untuk manusia baik dalam percakapan mahu pun dalam amalan.

Hassan Al Banna meminta komitmen yang tinggi demi melahirkan saf ini, di mana kata beliau:
“Sesungguhnya rajulul qaul (orang yang hanya banyak becakap) itu berbeza dengan rajulul ‘amal (orang yang beramal), rajulul amal berbeza dengan rajulul jihad, dan rajulul jihad pula berbeza dengan rajulul jihad yang produktif dan bijaksana. Dia memperolehi keuntungan yang besar meski pun dengan pengorbanan yang kecil.”

Kata beliau lagi:
“Sesungguhnya kebanyakan orang boleh bercakap, tetapi sedikit sekali di antara mereka yang mampu bertahan ketika beramal. Dari sedikit yang mampu bertahan beramal itu, sedikit sahaja yang mampu memikul beban jihad yang berat di atas jalan yang sukar ini. Para mujahid itu adalah orang-orang yang terpilih yang sedikit jumlahnya. Oleh itu para pendokong da’wah boleh tersesat jalan dan tidak sampai kepada matlamat yang dituju, seandainya tidak menyandarkan diri kepada pertolongan Allah.”

Beliau menyatakan lagi:
“Maka persiapkanlah dirimu, dan didiklah dengan tarbiyah yang benar dan ikhtiar yang mendalam. Ujilah dirimu dengan amalan yang kuat yang seringkali tidak menyenangkan dan sangat berat. Jauhkanlah dirimu dari keinginan-keinginan dan kebiasaan-kebiasaan hidup yang melekakan.”

Sesungguhnya untuk mencapai cita-cita yang besar, da’wah memerlukan orang-orang yang berjiwa besar, bercita-cita tinggi dan teguh dalam keta’atan yang berlandaskan iman dan ikhlas. Sesunggunya tanggungjawab para pendidik dan du’ah terhadap diri sendiri, jauh lebih besar daripada tanggungjawab mereka terhadap masyarakat. Sesungguhnya kelalaian para pendidik dan du’ah terhadap diri sendiri lebih merbahaya daripada kelalaian mereka terhadap masyarakat

Peringatan untuk para pendidik

Al Qur’an bersikap tegas terhadap mereka yang pandai memberi nasihat tetapi tidak mahu menerima nasihat. Mereka mencegah manusia daripada mungkar, tetapi mereka terlupa terhadap diri sendiri. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan sedangkan kamu melupakan (kewajipan) dirimu sendiri, pada hal kamu membaca Al Qur’an ? Maka tidakkah kamu berfikir?”
(Al Baqarah: 44)

Sayyid Qutb, dalam Fii Zilal Qur’an, berdasarkan ayat di atas menyatakan:
“Sesungguhnya bahaya bagi rijaluddin apabila din telah berubah menjadi sumber pendapatan (profesion). Di sa’at itu din bukan lagi sebagai aqidah yang serius yang mampu menggerakkan motivasi. Mereka berbicara dengan mulut mereka sesuatu yang tidak ada di dalam hati mereka. Mereka memerintah (manusia) untuk  berbuat baik, tetapi mereka sendiri tidak melakukannya. Mereka mencegah manusia daripada kemungkaran, tetapi mereka sendiri lalai.”

Kecontohan yang tercela pada diri pendidik akan menyebabkan manusia ragu-ragu terhadap tuturkatanya. Hati dan pemikiran manusia akan bingung menyaksikan akhlak yang keji meski pun mendengar kata-kata yang indah. Akhirnya mereka tidak percaya kepada risalahnya setelah mereka tidak percaya kepada dirinya.

Da’wah yang tidak disertai dengan qudwah adalah da’wah yang tiada ruh. Da’wah itu sampai ke telinga manusia tetapi tidak berpengaruh kepada hati mereka. Meski pun kata-kata seorang du’ah berirama dengan penuh bersemangat, tetapi oleh kerana ia tidak muncul dari hati yang beriman, maka manusia tetap tidak beriman.

Sebaliknya, da’wah yang disertai qudwah pada sosok pendidik atau da’i, akan menyebabkan manusia yakin, walaupun penyampaiannya kurang berirama dan kurang menarik. Kata-kata yang kuat dan mempunyai ruh adalah kata-kata yang diamalkan, bukan semata-mata dari keindahan susunan ayatnya.

Beramallah supaya kamu tidak menjadi ‘alim yang berbuat maksiat dan tuntutlah ilmu supaya kamu tidak menjadi ahli ibadah yang jahil.

Langkah-langkah untuk melahirkan qudwah hasanah

1.    Berhubung dengan Allah Subhanahuwata’ala dan memohon pertolongan kepadaNya.

Tidak mungkin seorang pendidik akan memiliki qudwah di atas ucapannya atau menjadikan Al Qur’an bergerak dalam hidupnya, melainkan dengan mempereratkan hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala dan memohon pertolonganNya. Pegangannya adalah:

“Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya Engkaulah yang kami mohon pertolongan”
(Surah Al Fatihah)

Dengan pertolongan Allah, maka pendidik atau da’i diberi hidayah untuk beramal dengan isi seruannya. Juga, melalui usahanya Allah akan membuka hati-hati manusia yang tertutup, mata-mata yang buta dan telinga-telinga yang tuli.

2.    Mengingati kemurkaan Allah Subhanahuwata’ala

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Wahai orang-orang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang kamu tidak lakukan.”
(As Saf : 2-3)

Seseorang yang dipanggil pendidik atau da’i, tetapi mengatakan sesuatu yang dia tidak perbuat, memberi nasihat tetapi tidak mahu menerima nasihat dan memberi petunjuk tetapi dia sendiri menghindari petunjuk, maka dia akan mendapat kemurkaan daripada Allah Subhanahuwata’ala. Dia rugi di dunia dan di akhirat. Itulah kerugian yang hakiki.

3.    Benar dan jujur terhadap diri sendiri

Seorang pendidik mestilah bersikap sidiq dan istiqamah.  Apa yang nampak pada zahirnya sama seperti batinnya. Amalannya selari dengan percakapannya.

Imam Ahmad dan Abu Daud meriwayatkan dari Abdullah bin Amir bin Rabi’ah, beliau berkata, “Telah datang kepada kami Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan waktu itu aku masih kecil, maka aku pergi keluar untuk bermain. Ibuku berkata, “Wahai Abdullah, kemarilah, aku akan memberimu sesuatu.” Maka Rasulullah bertanya, “Apa yang engkau hendak berikan kepadanya?”. Ibu berkata, “Kurma”. Maka Nabi bersabda, “Ingatlah, sesungguhnya jika kamu tidak melaksanakannya maka akan dicatat untukmu kebohongan.”

Justeru itu, seorang pendidik hendaklah berterus terang terhadap dirinya, tidak menipu diri dan tidak pula menipu manusia. Kata Ibn Sammak, “Banyak orang yang berzikir kepada Allah, tetapi hakikatnya dia lupakan Allah. Banyak orang yang kelihataan takut kepada Allah, tetapi hakikatnya dia berani dengan Allah. Banyak orang kelihatan mendekatkan diri dengan Allah, tetapi hakikatnya dia lari daripada Allah. Dan, banyak orang membaca kitab Allah, tetapi hakikatnya dia melepaskan diri daripada ayat-ayat Allah.”

Tanggungjawab pendidik terhadap manusia lain seharusnya tidak melupakan tanggungjawabnya terhadap dirinya. Kesebokannya memperbaiki manusia, tidak seharusnya memalingkannya daripada memperbaiki dirinya.

Nasihat Imam Syaf’i kepada guru yang mendidik anak-anak Khalifah Harun Ar Rasyid, “Hendaklah yang pertama yang engkau ajarkan untuk memperbaiki anak-anak Amirul Mukminin ialah memperbaiki dirimu sendiri. Kerana, mata mereka terpikat denganmu. Apa yang baik menurut mereka ialah apa-apa yang engkau anggap baik. Dan, apa yang buruk menurut mereka ialah apa-apa yang angkau tinggalkan.”

Renungkanlah bahawa Imam syafi’i tidak berkata. “Yang buruk untuk mereka ialah apa-apa yang engkau katakan buruk.”

Contoh yang baik dari pendidik akan selalu diingati oleh anak didik dan sulit untuk dilupakan, berbanding dengan kata-kata pendidik yang sering mudah dilupakan. Contoh yang baik adalah da’wah amaliyah dan bukan da’wah kalamiyah semata-mata. Contoh yang baik adalah da’wah bil hal sebelum da’wah bil maqal. Ini kerana, betapa pun tinggi sesuatu prinsip, tetapi jika tiada bukti dalam perlaksanaan, maka tidak akan dapat mempengaruhi manusia dan tiada apa-apa manfa’at bagi pemiliknya.

4.    Takutkan Allah Subahanuwata’ala.

Para pendidik selalu bermuhasabah terhadap dirinya dalam segala urusan dan gerak langkahnya. Bahkan di dalam diamnya, dia bermuhasabah untuk melihat kekurangan dan kesalahannya kerana takutkan Allah Subhanahuwata’ala.

Pendidik bermuhasabah – Apakah yang telah dilihat oleh matanya, didengar oleh telinganya, diperbuat oleh tangannya, ke mana kakinya telah melangkah dan apa yang telah masuk ke dalam perutnya? Adakah dia menjaga perasaannya agar tidak larut dalam angan-angan yang panjang?

Pendidik berkewajipan untuk melakukan ‘waqfah’ (berfikir dan merenung sejenak) terhadap dirinya, lalu memperbaiki diri, membersihkan jiwa dan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Seseorang itu dianggap lupakan Allah Subhanahuwata’ala jika melewat-lewatkan amal, tergelincir dari matlamat, meninggalkan hikmah dalam bertindak, tidak iltizam dengan manhaj tarbiyah yang betul dan tenggelam dalam perdebatan.

Antara jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah ialah  berkhalwat, bertahajjud dan memenuhi malam dengan beribadah kepadaNya. Jalan-jalan ini terdapat kelazatan jiwa yang tidak akan diperolehi kecuali orang-orang yang dimuliakan Allah Subhanahuwata’ala. Kata Ibrahim Adham setelah melakasanakan tahajjud, “Kita dalam kelazatan, yang seandainya kelazatan itu diketahui oleh raja-raja, nescaya mereka akan merampasnya daripada kita meski pun dengan peperangan.”

Sesungguhnya kebaikan akhlak seorang pendidik mukmin adalah umpamanya ‘khutbah’ yang paling mantap yang mengajak menusia kepada keimanan. Seorang pendidik yang berjaya ialah yang mengajak kepada kebenaran dengan tingkahlaku meski pun dia sedikit berbicara.

Awasilah terhadap kejayaan palsu

Mungkin seorang pendidik menyangka dia bahawa berjaya mempengaruhi seseorang yang lain apabila dia ‘menang’ di dalam sesuatu perdebatan. Ini adalah sangkaan yang meleset. Sesungguhnya orang yang kalah dalam perdebatan mungkin dia akan menyerah secara terpaksa, tetapi hatinya tidak akan tunduk dengan ikhlas. Dia tidak akan bersetuju dengan pendidik baik dalam perasaan mahu pun dalam pemikiran. Justeru itu pendidik perlu yakin bahawa qudwahlah merupakan ‘jalan’ yang paling mudah untuk tersebarnya da’wah dalam pelbagai bidang kehidupan.

Apabila kita perhatikan sifat-sifat da’i dan pendidik yang berjaya menempah kemenangan dalam da’wah dan kejayaan dalam tarbiyah, kita akan dapati mereka benar-benar memiliki aqidah yang mantap dan keluhuran budipekerti yang menakjubkan.

Penutup

Sesungguhnya para pendidik membawa tugas para nabi. Mereka perlu jujur dan benar dengan Allah Subhanahuwata’ala, samada dalam kata-kata mahu pun dalam perbuatan. Mereka tidak boleh menginginkan sesuatu melainkan keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. Mereka bertanggungjawab untuk berusaha mewarisi akhlak Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Qudwah hasanah adalah asas kepada pendidikan dan da’wah. Pendidik menghidangkan kepada manusia qudwah hasanah sebelum kata-kata.

Rujukan :

1.    ‘Ad Da’wah, Qawa’id wal Usul’, Jum’ah Amin Abdul Aziz.

Susunan: Syeikh Abu Husein

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s