USRAH DALAM KONTEKS PEMBENTUKAN UMMAH (4)

muslimin unitedRukun Kedua: At-Tafahum (saling memahami)

Tafahum adalah satu rukun dalam usrah. Untuk melahirkan tafahum, kita perlu beristiqamah di atas manhaj yang haq. Beristiqamah bermakna terus berada dalam manhaj yang haq. Yakni terus istiqamah dengan ajaran Islam setiap masa dan ketika.

Setiap perkara yang kita lakukan, mulai dari gerak hati hinggalah amalan dan mulai dari perkara yang kecil hinggalah ke perkara yang besar,  mestilah diluluskan oleh syara’. Ini bermakna kita perlu bermuhasabah bersungguh-sungguh terhadap diri kita sendiri supaya setiap sesuatu yang kita lakukan menepati kehendak syara’.

Setelah kita berbuat demikian (yakni setelah seluruh amalan kita menepati kehendak syara’), maka barulah kita bertindak menasihati saudara-saudara kita yang melakukan sesuatu bertentangan dengan ajaran Islam. Maka barulah proses nasihat itu berjalan dengan betul. Dan, barulah tidak timbul apa-apa prasangka yang tidak baik kerana orang yang memberi nasihat itu terlebih dahulu beramal dengan perintah syara’.

Orang yang memberi nasihat hendaklah menjaga keikhlasannya dalam menegur sahabat. Bahawa niatnya hanyalah semata-mata untuk mengislahkan sahabat agar sahabat menjadi orang yang lebih baik.

Saudara-saudara yang dinasihati pula perlulah menerima nasihat dengan baik dan senang hati serta berterima kasih kepada  saudara yang memberi nasihat. Inilah prinsip kita.

Manakala saudara yang memberi nasihat, hendaklah berjaga-jaga agar tidak berubah hati terhadap saudaranya itu walaupun sebesar urat rambut. Maknanya janganlah ia merasai lebih tinggi daripada saudaranya walaupun sebesar urat rambut. Dia memberi nasihat bukan kerana dia lebih tinggi, tetapi kerana ingin mengislah saudaranya agar lahir tahafum.

Sekiranya dia tidak dapat memperbaiki aib saudaranya, maka hendaklah dia merahsiakan aib saudaranya itu sehingga tiba masa yang sesuai. Jangan sekali-kali dia mengheboh-hebohkan aib saudaranya kepada orang lain. Namun, dalam rangka pengislahan, aib saudaranya itu boleh dimaklumkan kepada masulnya atau kepimpinan yang lebih mampu agar proses pengislahan dapat berjalan dengan baik dan dapat melahirkan tafahum. Hubungannya dengan saudaranya mestilah terus berjalan di atas rasa kasih sayang dan hubungan baik terus dipelihara sehinggalah Allah Subhanahuwata’ala menentukan keputusannya.

Saudara-saudari yang dinasihati perlulah menjaga diri supaya tidak bersifat degil dan keras hati. Janganlah berubah hati terhadap saudara yang menengur walaupun sebesar urat rambut. Ini juga bertujuan untuk memelihara tafahum.

Martabat kasih di jalan Allah Subhanahuwata’ala adalah setinggi-tinggi martabat. Nasihat adalah satu dasar bagi din. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

الدين النصيحة

”Din itu nasihat”

Kita meletakkan nasihat yang baik di tempat yang sewajarnya.

Bagitulah panduan-panduan untuk menjaga tahafum (saling mengenali) dan menutup ruang yang boleh menimbulkan salah faham. Sekiranya panduan-panduan itu tidak diikuti, maka ini akan memungkinkan timbulnya salah faham dan pelbagai masalah dalam usrah atau jama’ah.

Rukun Ketiga: At-Takaful (saling memikul bebanan atau tolong menolong)

Marilah sama kita memahami dan menghayati dasar takaful dalam usrah. Takaful menuntut kita memikul bersama penderitaan sahabat-sahabat. Memikul bebanan sahabat, sebenarnya, menandakan kejelasan iman dan ukhuwwah. Marilah kita bersedia untuk memberi pertolongan kepada sahabat-sahabat sedaya mungkin. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):

”Sesungguhnya seorang kamu berjalan untuk menyempurnakan suatu hajat saudaranya adalah lebih baik untuknya daripada ia beri’tikaf di masjidku ini.”

Sedangkan beri’tikaf di masjid Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam itu mengandungi fadhilat yang cukup besar. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam lagi:

”Barangsiapa dapat mengembirakan ahli suatu keluarga muslim, Allah tidak nampak balasannya melainkan syurga.”

Tolong menolong begini adalah dasar untuk melahirkan takaful. Kita perlu laksanakan tanggungjawab kita dalam bentuk tolong menolong.

Dalam rangka takaful, kita perlu peruntukkan pada kadar tertentu daripada wang kita untuk mengisi tabung usrah secara terus menerus tanpa ada yang mengecualikan diri.

Begitulah penjelasan berhubung dengan tiga rukun usrah, yang perlu dihayati untuk melahirkan usrah yang betul-betul bermakna dalam konteks pembentukan ummah.

Sekiranya kita cuai dalam melaksanakan rukun-rukun ini maka usrah kita akan lemah dan mungkin akan terkubur. Usrah yang terkubur adalah satu kerugian yang besar bagi da’wah dan harakah yang memperjuangkan kedaulatan Islam. Kita perlu benar-benar faham bahawa da’wah ini adalah harapan Islam dan ummah Islamiyah.

Kita perlu serius dengan program usrah (dan juga semua program tarbiyah yang lain), tanpa menguzurkan diri, kecuali dalam keadaan yang sungguh-sungguh terpaksa dan tidak dapat dielakkan sama sekali.

Oleh: Syeikh Abu Muhammad

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s