USRAH DALAM KONTEKS PEMBENTUKAN UMMAH (1)

Proses Tau’iyyah Dan Tarbiyyah.

universiti tarbiyahKita tidak akan memiliki kesedaran Islam sebenar tanpa melalui proses tau’iyyah dan tarbiyyah yang panjang, memakan masa yang lama dan berterusan.

Maksud proses tau’iyyah ialah proses untuk mendapat ilmu Islam secara tarbawi bersumberkan sumber-sumber yang muktabar. Sumber-sumber muktabar ialah Al-Quran Al-Karim, As-Sunnah An-Nabawiyyah dan penulisan-penulisan ulamak muktabar.  As-Sunnah An-Nabawiyyah berperanan menghuraikan kehendak-kehendak Al-Qur’an. Manakala penulisan-penulisan ulamak berperanan menghuraikan kehendak-kehendak Al-Qur’an dan As-Sunnah. Ulamak muktabar ialah ulamak yang jelas kefahaman mereka terhadap Islam dan jelas jihad mereka untuk menegakkan din Allah Subhanahuwata’ala, meskipun menempuh pelbagai mehnah dan ibtilak.

Sumber-sumber lain untuk memahami Islam, melalui proses tau’iyyah ini, ialah sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan sirah para sahabat yang telah menerima asuhan baginda (di bawah bimbingan Allah Subhanahuwata’ala).

Di samping itu kita perlu memahami realiti semasa. Dalam realiti kini terdapat banyak perkara atau aktiviti yang hanya menggunakan lambang-lambang Islam untuk mengelirukan masyarakat terhadap Islam.

Tujuan kita memahami realiti bukan untuk tunduk kepada realiti. Tujuan sebenar ialah supaya kita dapat bergerak di dalam realiti yang ada dengan lancar tanpa tersekat.

Kita perlu menyusun dan melaksanakan aktiviti-aktiviti tau’iyyah dan tarbiyyah sebanyak mungkin bagi mewujudkan satu jamaah atau ummah yang sedar, faham dan iltizam dengan Islam serta mendapatkan  keredhaan Allah Subhanahuwata’ala.

Jalan-jalan tau’iyyah dan tarbiyyah mestilah bercontohkan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Kita meyakini bahawa jalan-jalan yang tidak bercontohkan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam tidak akan berjaya mencapai matlamat. Hanya jalan tau’iyyah dan tarbiyyah yang betul sahaja akan melahirkan natijah yang betul.

Kerja Yang Sangat Mulia.

Kerja-kerja tau’iyyah untuk menyedarkan manusia terhadap Islam adalah kerja-kerja yang sangat mulia dan sangat tinggi nilainya di sisi Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Dan siapakah yang lebih baik kata-kata (menyampaikan da’wah) daripada orang yang berda’wah di jalan Allah dan mengerjakan amalan soleh serta berkata: Sesungguhnya aku dari kalangan orang-orang muslim.”

-Surah Fussilat: ayat 33.

Dari ayat ini dapat kita fahami bahawa kerja da’wah adalah suatu kerja yang sangat mulia dan tinggi nilainya sehinggalah (seolah-olah) Allah Subhanahuwata’ala menyatakan bahawa tiada lagi kerja-kerja lain yang lebih baik dan lebih tinggi daripadanya.

Seterusnya, berdasarkan ayat di atas, adalah tidak memadai da’wah itu dengan kata-kata semata-mata, tetapi perlu disertakan juga amalan yang soleh.

Untuk merasai kerja dakwah sebagai kerja yang mulia, maka kita perlu berada dalam suasana yang menghargai kerja-kerja da’wah ini. Jika kita berada dalam realiti yang tidak pernah menghambil berat nilai ini maka kita tidak akan merasai kemuliaan berda’wah di jalan Allah Subhanahuwata’ala. Maka, kerja-kerja da’wah akan dibuat sambil lewa sahaja.

Meskipun kita dapat memahami kerja da’wah paling utama dan penting dalam realiti kini, namun jika kita tidak bersungguh-sungguh melaksanakannya, maka cita-cita Islam menguasai kehidupan masyarakat tidak akan tercapai.

Setelah kita memahami bahawa berda’wah di jalan Allah Subhanahuwata’ala sangat mulia dan tinggi nilainya, maka kita perlu pula memahami bagaimana cara berda’wah di jalan Allah Subhanahuwata’ala.

Kerja yang sukar dan rumit

Kerja-kerja tau’iyyah, tarbiyyah dan takwin adalah kerja-kerja yang sangat berat. Kerja-kerja ini mestilah dirancang dan disusun yang teliti.

Kerja-kerja yang sekadar memberi ceramah dan khutbah adalah  mudah dan senang. Untuk berceramah misalnya, kita boleh keluarkan satu dua hadith atau ayat Al-Quran dan membuat penyampaian yang  berjam-jam lamanya. Namun untuk membentuk manusia beriman yang sabar, yang mendokong dan memperjuangkan Al-Qur’an dan Al-Hadith serta bersama-sama di adalam satu jama’ah, adalah sangat sukar dan rumit.

Pengukuran kekuatan ummah

Melalui proses tau’iyyah, tarbiyyah dan takwin, kita akan dapat mengukur kekuatan ummah yang sebenar. Kekuatan ummah dapat ditentukan dengan melihat kepada kesediaan dan kesanggupan ummah melaksanakan Islam yang syamil dan kamil dalam realiti kehidupan.

Kita tidak boleh mengukur kekuatan dengan melihat kepada sambutan orang ramai di dalam ceramah-ceramah umum. Ini kerana kehadiran mereka bukanlah didorong oleh satu dorongan yang betul dan seragam, tetapi berdasarkan pelbagai dorongan. Jika kita bergantung kepada jumlah kehadiran yang ramai di dalam ceramah-ceramah umum sebagai ukuran kekuatan, maka ukuran itu tidak tepat.

Kita perlu menegakkan proses tau’iyyah,  tarbiyyah dan takwin, walaupun bilangan penyertaan di peringkat awal adalah sedikit. Yang penting biarkan mereka yang bersama kita itu dapat memahami hakikat Islam sebenar, memahami realiti dan bersedia memikul tanggungjawab da’wah dalam apa jua suasana.

Banyak kerja yang perlu kita lakukan. Setiap tindakan kita hendaklah menjurus ke arah mentakwinkan wa’y Islami dan  mewujudkan rakaiz Islamiyah (kumpulan-kumpulan kecil yang yang mengikuti proses tau’iyyah, tarbiyyah dan takwin).

Oleh: Syeikh Abu Muhammad

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s