Hubungan Dengan Allah swt. (HDA)

Satu perkara yang paling utama, yang sentiasa diperingatkan oleh para anbiya’, khulafa ar-Rashidin dan orang-orang yang soleh pada semua keadaan ialah supaya pengikut-pengikut mereka bertaqwa kepada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Menyemarakkan hati sanubari mereka dengan kecintaan dan taqarrub kepada-Nya dengan melakukan ketaatan dan ibadah kepada-Nya. Tidak syak lagi, inilah perkara yang mesti diutamakan daripada perkara-perkara yang lain.

 

Beriman dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala adalah persoalan yang paling pokok dalam aqidah. Berhubungan dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dan bertaqarrub dengan-Nya mendahului persoalan-persoalan yang lain dalam ibadah. Takut kepada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala apabila bersendirian di tempat sunyi dan juga ketika di khalayak ramai mendahului perkara lain dalam akhlak, muamalat dan amalan. Segala usaha kita tidak mungkin berhasil kecuali setelah kita mengembalikan hubungan kita dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Kuat atau lemahnya  kita adalah bergantung kepada sejauh mana hubungan kita dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Kita menjadi kuat apabila hubungan kita dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala kuat, dan kita lemah apabila hubungan kita dengan-Nya lemah.

 

Makna Hubungan Dengan Allah

 

Hubungan manusia dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala, mengikut keterangan Al-Quran Al-Karim bermaksud supaya manusia menjadikan hidup, mati, solah dan segala ibadah semata-mata untuk-Nya.

“Katakanlah: Sesungguhnya solahku, ibadahku, kehidupanku dan kematianku bagi Allah, Tuhan sekalian alam.” [Al-Anaam: 162]

 

Hendaklah seseorang itu menyembah Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dengan penuh keikhlasan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah berulang kali menerangkan pengertian hubungan hamba dengan Rabbnya sehingga tiada setitik debupun yang menutupi pengertian ini. Jadi, mengertilah kita akan hakikat hubungan dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala iaitu:

“Takut akan Allah di tempat sunyi dan tempat yang terang.” [Hadith]

“Hendaklah engkau yakini bahawa yang ditangan Allah itu lebih terjamin daripada apa yang ada di tangan engkau.” [Hadith]

“Hendaklah engkau menuntut keredhaan Allah dengan kemarahan manusia.” [Hadith]

Kita tidak pula mencari keredhaan manusia dengan kemurkaan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Setelah terjalin rapi hubungan ini, kecintaan seseorang, perseteruan, pemberian dan tegahannya semuanya demi Allah Subha Nahu Wa Ta’ala semata-mata tanpa dicemari oleh tujuan-tujuan lain. Inilah pengertian kesempurnaan hubungan dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala.

 

“Sesiapa yang cintakan Allah, memberi kerana Allah dan mencegah kerana Allah, sesungguhnya telah sempurnalah imannya.” [Hadith]

 

Kemudian hendaklah saudara memperbaharui  do’a saudara pada tiap-tiap malam dalam rakaat terakhir solah witir saudara. Tidakkah saudara sering ucapkan:-

 

“Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami minta pertolongan daripada Engkau, minta hidayat daripada Engkau, beristighfar kepada Engkau, beriman kepada Engkau dan bertawakkal kepada Engkau. Kami memuji kepada Engkau atas kebaikan, kami berterima kasih dan tidak kufur kepada Engkau, kami menyingkir dan menjauhkan sesiapa yang derhakakan Engkau. Ya Allah, Dikaulah yang kami sembah dan akan Dikaulah kami sembahyang dan sujud, kepada Engkaulah kami berusaha dan maju. Kami mengharapkan rahmat Engkau, kami takut akan azab Engkau. Sesungguhnya azab Engkau tetap menimpa orang-orang kafir.”

 

Hendaklah saudara merenungi maksud do’a ini. Apakah setiap daripada malam-malam saudara membenarkan dan mempersetujui ikatan saudara dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala? Sudah terukir gambaran hubungan ini dalam doa yang dilafazkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam apabila baginda bangun mengerjakan sembahyang di tengah malam, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sentiasa menyebut doa berikut ini, bermunajat dengan Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Tinggi:-

“Ya Allah, Ya Tuhanku, kepada Engkaulah aku berserah, dengan Engkaulah aku beriman, di atas Engkaulah aku bertaubat, kepada Engkaulah aku kembali, bersama Engkaulah aku bermusuh dan kehadapan Engkaulah aku berbicara.”

 

Jalan Memperkuatkan Hubungan Dengan Allah

Tidak terdapat jalan lain untuk menimbulkan hubungan dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala melainkan satu sahaja. Seseorang insan hendaklah beriman dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala yang Esa sebagai Rab dan Ilah bagi dirinya dan untuk sekelian makhluk di langit dan di bumi serta mengimani sifat-sifat UluhiyyahNya. Tuntutan dan kelayakannya tidak boleh diberi kepada selain daripada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Hendaklah saudara membersihkan hati daripada segala kekaratan syirik. Apabila manusia dapat menyempurnakan semuanya ini mengikut cara yang dituntut, akan terikatlah jalinan hubungan antaranya dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Adapun untuk mempererat dan menyuburkan hubungan ini tertakluk kepada dua jalan:-

 

i.                    jalan kefahaman dan berfikir

ii.                 jalan bekerja

 

Kaedah menyuburkan hubungan dengan Allah SWT melalui jalan kefahaman dan tadabbur ialah dengan cara saudara mempelajari Al-Quran dan Hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang sahih dan sedaya upaya mengamatinya berulang-ulang kali dan seterusnya cuba memahaminya agar benar-benar faham. Langkah seterusnya ialah dengan mencuba sedaya upaya untuk mengamalkannya di dalam kehidupan. Apakah sudah terjalin hubungan di antara saudara dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dalam kenyataan hidup sehingga setelah saudara ketahui sudut-sudut ini, saudara akan cuba bentangkan dan bandingkan dengan hal keadaan saudara. Maka bertambah eratlah hubungan saudara dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Maka untuk itu, hendaklah saudara memperhatikan segenap sudut. Sampai ketahap manakah telah saudara laksanakan tuntutan-tuntutanNya? Apakah pula kekurangan-kekurangan pada diri saudara di dalam perkara ini? Sekadar mana dapat diperkuatkan perasaan ini di dalam diri saudara maka sekadar itulah hubungan saudara dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala.

 

Dalam konteks pertalian dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala, saudara adalah hamba manakalah Allah Subha Nahu Wa Ta’ala adalah Tuhan (Rabb). Saudara dijadikan sebagai khalifahNya di bumi. Kemudian, daripada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dipindahkan nikmat-nikmat dan pemberianNya yang tidak terkira kepada saudara. Bertolak daripada sini, setelah saudara beriman maka Allah Subha Nahu Wa Ta’ala telah membeli jiwa dan harta saudara dengan syurga. Lalu daripada semua itu, saudara bertanggungjawab di hadapanNya. Allah Subha Nahu Wa Ta’ala tidak menghisab amal-amal itu daripada segi zahir pekerjaan saudara sahaja, tetapi juga dicatat bersama-sama dengan perbuatan zahir itu gerak-geri, diam, niat dan kehendak saudara. Inilah antara banyak contoh-contoh pertalian yang telah sedia ada di antara saudara dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Berdasarkan kepada kefahaman ini, menjiwainya dan melaksanakan tuntutannya akan menentukan darjat hubungan dan taqarrub saudara denganNya. Sejauhmana saudara melalaikannya dan tidak memikirkan untuk menunaikan tuntutan-tuntutannya maka sekadar itulah saudara telah menjauhi Allah dan merenggangi hubungan denganNya. Semakin kuat saudara berjaga-jaga, berusaha untuk memelihara dan mengambil berat terhadap urusanNya, maka semakin teguh dan mendalamlah hubungan saudara dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala.

 

Namun, jalan berfikir ini tidak akan mendatangkan buahnya bahkan tidak mungkin kekal dalam jangka masa yang panjang sekiranya saudara tidak sandarkan kepada jalan amal iaitu ketaatan yang ikhlas terhadap hukum Ilahi serta membelanjakan jiwa dan harta kepada sebarang jalan yang obleh membawa mardhatillah Subha Nahu Wa Ta’ala. Makna ketaatan kepada hukum Ilahi ialah melakukan segala apa yang diperintahkan oleh Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dengan penuh kerelaan jiwa di waktu senang dan susah, sunyi dan terang tanpa menghiraukan keuntungan dunia, malah hanya menghitung keredhaan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala semata-mata. Ketaatan kepada hukum-hukum Ilahi juga bererti meninggalkan sesuatu yang dibenci oleh Allah Subha Nahu Wa Ta’ala di waktu sunyi dan terang dengan penuh rasa kebencian terhadap larangan itu. Jangan saudara jadikan desakan duniawi sebagai motif untuk meninggalkan larangan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Saudara tinggalkan setiap larangan itu adalah semata-mata kerana Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Inilah jalan yang mempertingkatkan darjat ketaqwaan saudara kepada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala.

 

Dalam hal yang akan meningkatkan saudara ke darjat ihsan selepas darjat taqwa ialah dengan cara saudara berusaha mempertingkatkan setiap amal-amal keutamaan (fadhilat-fadhilat) yang dicintai oleh Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dan RasulNya. Menjauhi perkara yang tercela lagi dibenci oleh Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dan RasulNya. Janganlah saudara memandang ringan dan remeh di dalam hal membelanjakan apa yang dimiliki oleh saudara seperti jiwa, harta, masa, usaha, kekuatan fikiran dan kekuatan hati. Di samping itu, sentiasalah di dalam keadaan beringat, penuh keinsafan supaya tidak tumbuh  di dalam hati saudara rasa sombong serta ujub dengan amal dan pengorbanan yang telah saudara lakukan sehingga melupai diri sendiri lalu terlintas di dalam hati perasaan seolah-oleh saudara telah berbakti dan berbudi kepada orang. Sebaliknya mestilah saudara rasai bahawa saudara terlalu sedikit dan terlalu kurang di dalam melaksanakan semua yang diwajibkan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala

One thought on “Hubungan Dengan Allah swt. (HDA)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s