Syarah Usul 20: Islam Yang Syumul (1)

Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi semua aspek kehidupan. Ia adalah daulah dan tanahair ataupun kerajaan dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan. Ia adalah kebudayaan dan undang-undang ataupun keilmuan dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan harta ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Sebagaimana juga ia adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita.

Keterangan

Usul ini menegaskan tentang hakikat Islam yang penting iaitu: “Kesyumulan Islam dalam setiap aspek kehidupan”. Hakikat ini amat jelas kepada orang yang mempunyai penglihatan dan dalil-dalilnya amat banyak dari Kitab dan Sunnah.

Walaupun begitu, hakikat ini dipandang ganjil oleh kebanyakan umat Islam ketika Imam Hasan Al-Banna memulakan dakwahnya. Ia dipandang ganjil oleh setengah persatuan-persatuan Islam. Mereka tidak menaskan bahawa dasar-dasar, matlamat dan ciri-cirinya di atas kesyumulan itu dan tidak mengambil wasilah-wasilah yang menggambarkan bahawa mereka mahu merealisasikannya di alam nyata. Ia dipandang ganjil oleh parti-parti politik kerana mereka memisahkan agama dari politik dan menganggap bahawa kedua-duanya adalah berlawanan dan tidak boleh bertemu.

Ia dipandang ganjil oleh setengah-setengah ulamak walaupun dalil-dalil kesyumulan itu ada di tangan mereka dan terbentang luas di depan mata mereka. Tetapi nas-nas itu tidak mendapati hati-hati yang memahaminya atau bumi yang subur untuk ia tumbuh dan berbuah.

Di tengah kemelut keganjilan ini, Al-Imam as-syahid menjelaskan tentang hakikat ini agar perhatian umat tertumpu kepada perkara tersebut. Beliau menggesa mereka agar menukarkannya kepada realiti yang amali. Beliau telah mencurahkan tenaga yang banyak untuk menanam hakikat ini dalam dalam jiwa-jiwa umat dan memujuk mereka agar menerimanya.

Sesiapa yang memerhatikan keadaan umat yang kehilangan punca pada waktu yang bersejarah tersebut akan mengetahui nilai usul ini dan bahaya kehilangannya. Di antara perkara yang  menyerlahkan tentang nilai usul ini dalam tempoh yang penuh kemelut itu ialah fahaman buruk sekularisma telah meresap masuk ke dalam fikiran dan hati golongan intelektual yang terdiri dari setengah-setengah mahasiswa universiti, penulis dan penyair. Fahaman sekularisma mula bersarang dalam golongan ini, lalu mereka mengengkari kesyumulan Islam dan membataskan Islam dalam ruang lingkup syiar-syiar ibadat semata-mata, tidak lebih dari itu. Bagi mereka Islam tidak ada hubungan dengan politik, ekonomi, sosial dan semua aspek kehidupan. Umat terus tertidur dengan alunan itu, sehinggalah datang Al-Imam as-syahid mengejutkan mereka dan menyeru mereka agar bangkit dan bergerak untuk mengamalkan Islam bermula dari bersiwak hinggalah kepada berjihad. Beliau mengajak mereka meletakkan Islam di tempatnya yang sebenar tanpa mengubah atau menukarganti, tanpa mengurang atau menambah.

Dalil-dalil kesyumulan

Di sana ada terdapat dalil-dalil umum tentang kesyumulan Islam dalam semua perkara dan dalil-dalil lain secara detail. Di antara dalil-dalil umum ialah firman Allah swt. yang bermaksud:

“Dan Kami turunkan Kitab kepada kamu dengan menerangkan setiap sesuatu”. (An-Nahl: 89)

Rasulullah saw bersabda kepada Qabilah Bani Syaiban bin Tha’labah ketika memperkenalkan diri baginda dalam berdakwah kepada qabilah-qabilah di Mekah, maksudnya:

“Kamu tidak menolak secara jahat jika kamu menyatakan kebenaran. Sesungguhnya agama ini tidak akan ditegakkan melainkan oleh orang yang meliputinya dari segenap sudut”. (Seerah Nabawiyyah: Ibnu Kathiir: 2/163-169)

Apabila kita melihat kepada Al-Quran Al-Karim dan Sunnah Nabawiyyah, kita dapati banyak ayat-ayat yang menerangkan tentang ‘aqidah, ibadat, akhlak, berhukum dengan hukum yang diturunkan oleh Allah swt dan kehakiman, jihad dan perjanjian, hal ehwal harta benda dan perniagaan serta berbagai-bagai bidang kehidupan. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Diwajibkan ke atas kamu qisaas (bunuh balas) dalam (kes) orang yang mati dibunuh”.

(Al-Baqarah: 178)

Maksudnya:

“Diwajibkan ke atas kamu berpuasa”. (Al-Baqarah: 183)

Maksudnya:

“Diwajibkan ke atas kamu apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak , berwasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabat secara baik”.

(Al-Baqarah: 180)

Maksudnya:

“Diwajibkan ke atas kamu berperang”. (Al-Baqarah: 216)

Maksudnya:

“Apabila kamu bermu’amalah (Seperti berjual beli, berhutang piutang atau sewa menyewa dan sebagainya) tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya”.

(Al-Baqarah: 282)

Maksudnya:

“Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”. (Al-Baqarah: 275)

Maksudnya:

“Dan hendaklah kamu memutuskan hukuman di antara mereka dengan hukum yang diturunkan oleh Allah, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang diturunkan Allah kepada kamu”.

(Al-Maidah: 49)

Allah telah mengengkari terhadap mereka yang mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain dengan firmanNya:

Maksudnya:

“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang berbuat demikian kehinaan dalam kehidupan duniadan pada hari Kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab siksa yang amat pedih”.

(Al-Baqarah: 85)

Adakah cukup dengan kita hanya mengakui tentang kesyumulan Islam tanpa beramal dengannya?

Setiap orang yang melihat kepada petunjuk Rasulullah saw dan seerah salafussaleh, beliau akan dapati bahawa mereka beriman dengan kesyumulan Islam dan mempraktikkannya. Mereka mengambil wasilah-wasilah yang terdaya untuk mengubah kefahaman ini kepada realiti yang amali, yang mempunyai keperibadian, bukannnya terbatas kepada serban di atas kepala dan iman yang tersembunyi di dalam hati.

Sesiapa yang mengakui kesyumulan Islam dalam setiap aspek kehidupan, kemudian beliau membataskan kegiatannya dalam beberapa aspek sahaja, beliau mempunyai beberapa keadaan:

* Jika kemampuannya tidak cukup untuk melaksanakan aspek-aspek yang lain, maka beliau hendaklah membantu orang-orang lain yang beramal (‘aamilin) dengan kesyumulan dengan sedaya upaya yang mungkin.

* Adapun jika beliau menghalang mereka dan menganggap bahawa aspek yang dilaksanakannya sudah memadai, serta tidak menghulurkan bantuan maka tidak syak lagi beliau adalah tercela.

* Jika kemampuannya mengizinkan beliau untuk memberi saham amali, dan beliau hanya berpada dengan satu aspek sahaja kerana mementingkan keselamatan dan kesenangan dan tidak mahu berpenat tenaga, maka beliau tidak selamat dan tidak mendapat kesenangan.

* Sesungguhnya berdakwah kepada kefahaman yang syamil dan beramal dengannya

dan mengakuinya adalah asas dan yang lainnya adalah kecuaian.

* Jika tidak, tolong beritahu kepadaku wahai saudara, adakah kita telah menunaikan

hak dengan sebenar-benarnya jika kita hanya berpada dengan mengetahui dan mengakuinya tanpa beramal dan berdakwah dengannya?

Al-Imam as-syahid telah menjelaskan usul ini dan menerangkannya kepada setiap orang yang mempunyai kefahaman dalam banyak risalahnya. Beliau berkata dalam risalah muktamar kelima di bawah tajuk: “Islam Ikhwan Muslimin”:

“Wahai saudara, izinkan saya menggunakan ungkapan ini. Saya tidak bermaksud bahawa Islam Ikhwan Muslimin adalah Islam yang baru, yang bukan dibawa oleh Saidina Muhammad saw dari Tuhannya. Saya maksudkan bahawa kebanyakan umat Islam di kebanyakan zaman telah mencabut sifat-sifat, ciri-ciri dan batas-batas dari Islam mengikut kemahuan masing-masing. Mereka mempergunakan keanjalan dan keluasannya secara buruk. Sedangkan keanjalan dan keluasan itu adalah mempunyai hikmat yang tinggi. Mereka bertelingkah hebat dalam memahami makna Islam dan menanamkan gambaran Islam yang bermacam-macam di dalam jiwa anak-anak mereka, samada ianya hampir, jauh atau bertepatan dengan Islam pertama yang dibawa oleh Rasulullah saw dan para sahabatnya. “

Di antara manusia ada yang memandang bahawa Islam hanya terbatas pada ibadat-ibadat zahir sahaja. Jika dia menunaikannya atau melihat ada orang melaksanakannya, beliau berpuashati dan mengira bahawa dia telah sampai ke puncak Islam. Inilah makna yang difahami secara meluas di kalangan umat Islam.

Ada di antara mereka yang memandang bahawa Islam hanya terbatas kepada berakhlak mulia, rohani yang bersih, memberi santapan falsafah kepada fikiran dan roh serta menjauhkan diri dari daki-daki material.

Ada pula yang Islamnya hanya terhenti kepada perasaan takjub kepada makna-makna

Islam yang hidup dan amali ini. Dia tidak memikirkan perkara lain. Ada golongan yang memandang bahawa Islam adalah sejenis ‘aqidah yang diwarisi, amalan-amalan yang tradisi yang tidak diperlukan dan tidak boleh menjadi maju. Mereka menjadi jemu dengan Islam dan setiap perkara yang mempunyai hubungkait dengannya. Saudara boleh mendapati makna ini secara jelas di dalam jiwa orangorang yang berpendididkan barat yang tidak berpeluang untuk memahami hakikat Islam. Mereka tidak mengetahui sedikitpun tentang Islam, atau mengetahuinya dengan gambaran yang tercemar hasil dari pergaulannya dengan orang-orang yang tidak mengamalkan Islam secara baik dari kalangan umat Islam.

Di bawah jenis-jenis ini, terdapat lagi jenis-jenis lain yang mempunyai pandangan yang berbeza-beza tentang Islam. Hanya segolongan kecil sahaja di kalangan manusia yang memahami gambaran Islam yang sempurna dan jelas yang menyusun semua makna makna ini. Gambaran yang bermacam-macam terhadap Islam di dalam jiwa manusia ini

menjadikan mereka berselisih hebat dalam memahami fikrah Ikhwan Muslimin.

Di antara manusia ada yang menggambarkan bahawa Ikhwan Muslimin adalah “tarikat sufi” yang mengambil berat dalam mengajar manusia tentang zikir-zikir, jenis-jenis

ibadat dan perkara-perkara lain yang menjadikan seseorang itu ikhlas dan zuhud.

Ada pula yang menyangka bahawa Ikhwan adalah satu jamaah yang suka berbahas tentang masalah-masalah fiqh. Mereka hanya mementingkan untuk berpegang dengan beberapa hukum-hakam, berdebat padanya, mempertahankanya dan mengajak manusia agar berpegang kepada hukum-hukum tersebut. Mereka berbahas atau berdamai dengan orang yang tidak menerimanya.

Sedikit sahaja di kalangan manusia yang bercampur dan bergaul dengan Ikhwan Muslimin, yang tidak hanya mendengar semata-mata dan tidak mencabut dari Ikwan Muslimin Islam yang difahami oleh mereka. Lalu golongan ini mengetahui hakikat Ikhwan dan memahami dakwah mereka secara ilmu dan amali.

Kerana itu , saya suka bercakap kepada tuan-tuan yang mulia secara ringkas

tentang makna Islam dan gambarannya pada jiwa Ikhwan Muslimin sehingga ia

menjadi asas dakwah kita, kita berbanggga kerana bersamanya dan mengambil bekalan

daripadanya secara jelas dan nyata.

Kami meyakini bahawa hukum-hukum Islam dan pengajarannya adalah syumul

dan menyusun hal ehwal kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Orang-orang yang

menyangka bahawa pengajaran ini hanya meliputi aspek ibadat dan rohani sematamata

adalah salah dalam sangkaan tersebut. Ini kerana Islam adalah ‘aqidah dan ibadat, watan dan warganegara, agama dan negara, rohani dan amal serta Al-Quran dan pedang.

Al-Quran Al-Karim menyebut tentang kesemua perkara tersebut dan menganggapnya sebagai “otak dan hati Islam” serta mewasiatkan agar melaksanakan kesemua perkara tadi dengan sebaik-baiknya. Inilah yang diisyaratkan oleh firman Allah swt:

Maksudnya:

“Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri

akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (keni’matan) duniawi dan

berbuat baiklah sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu”. (Al-Qasas: 77)

Saudara juga membaca dalam Al-Quran dan juga di dalam sembahyang firman Allah swt tentan ‘aqidah dan ibadat, maksudnya:

“Dan mereka tidak diperintah kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam menjalankan agama dengan lurus . Jauh dari syirik dan kesesatan dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat. Dan yang demikian itulah agama yang lurus”. (Al-Bayyinah:5)

Saudara juga membaca firman Allah swt tentang kerajaan, kehakiman dan politik, maksudnya:

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehinggalah mereka

menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka

tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka meneriama dengan sepenuhnya”. (An-Nisaa’: 65)

Saudara juga membaca firman Allah swt tentang hutang di dalam perniagaan, maksudnya:

” Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berhutang dalam tempoh yang

tertentu, hendaklah kamu menulisnya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu

menulisnya dengan benar. Dan janganlah penulis enggan menulisnya sebagaimana

Allah telah mengajarkannya, maka hendaklah dia menulis, dan hendaklah orang yang

berhutang itu membacakan apa yang ditulisnya itu, dan hendaklah dia bertaqwa kepada

Allah Tuhannya, dan janganlah dia mengurangi sedikitpun daripada hutangnya. Jika

yang berhutang itu orang yang lemah akalnya atau lemah (keadaannya) atau dia sendiri

tidak mampu membacakannya, maka hendaklah walinya membacakannya secara jujur.

Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Jika tidak ada dua orang lelaki, maka boleh seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu redhai, supaya jika seorang lupa maka yang seorang lagi mengingatkannya.

Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil, dan

janganlah kamu jemu menulis hutang itu, baik sedikit mahupun banyak sampai batas

waktu membayarnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih dapat

menguatkan persaksian dan lebih dekat kepada tidak (menimbulkan) keraguanmu.

(Tulislah hutang itu), kecuali jika ia merupakan perniagaan tunai yang kamu jalankan di

antara kamu, maka tidak ada dosa bagi kamu (jika) kamu tidak menulisnya. Dan

persaksikanlah apabila kamu berjual beli, dan janganlah penulis dan saksi saling sulitmenyulitkan. Jika kamu lakukan (yang demikian itu), maka sesungguhnya hal itu adalah suatu kefasikan pada dirimu. Dan bertaqwalah kepada Allah, Allah mengajarmu, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. (Al-Baqarah: 282)

Saudara juga membaca firman Allah swt tentang jihad dan peperangan, maksudnya:

“Dan apabila kamu berada di tengah mereka (sahabatmu) lalu kamu hedak mendirikan

solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan dari mereka berdiri (solat)

besertamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka (yang solat bersamamu)

sujud (telah menyempurnakan satu rakaat) Apabila selesai satu rakaat, maka diselesaikan sendiri satu rakaat lagi, dan Nabi duduk menunggu golongan yang kedua maka mereka hendaklah pindah dari belakangmu (untuk menghadapi musuh) dan hendaklah datang golongan yang kedua yang belum sembahyang, lalu bersembahyanglah mereka denganmu. Dan hendaklah mereka bersiap sedia dan menyandang senjata. Orang-orang kafir ingin supaya kamu lengah terhadap senjatamu dan harta bendamu, lalu mereka menyerbu kamu dengan sekaligus. Dan tidak ada dosa atasmu meletakkan senjata-senjatamu, jika kamu mendapat sesuatu kesusahan kerana hujan atau kerana kamu memang sakit dan bersiap sedialah kamu”. (An-Nisaa’: 102)

Banyak lagi ayat-ayat yang menjelaskan tentang perkara-perkara di atas. Begitu juga dalam adab-adab umum dan hal ehwal masyarakat.

Begitulah Ikhwan berhubung dengan Kitab Allah, meminta ilham dan petunjuk darinya. Mereka meyakini kesyumulan Islam ini dan Islam mesti menguasai dan mewarnai setiap aspek kehidupan. Kehidupan mesti terikat dengan hukum-hukum Islam, berjalan dalam landasan prinsip dan pengajarannya dan merujuk kepadanya jika umat mahu menjadi umat Islam yang sebenar.

Tetapi jika hanya Islam di sudut ibadat semata-mata dan meniru orang bukan Islam dalam sudut-sudut lain, maka ia bukanlah umat Islam yang sebenar. Mereka samalah dengan umat yang disebut di dalam firman Allah swt. , maksudnya:

“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan kufur dengan sebahagian yang

lain? Tiadalah balasan bagi orang berbuat demikian kehinaan dalam kehidupan dunia

dan pada hari Kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab siksa yang amat pedih, dan Allah tidak lali terhadap apa yang mereka kerjakan”. (Al-Baqarah: 85)

Dalam menerangkan tentang kesyumulan Islam untuk kesemua manusia dan pada semua masa, Al-Imam as-syahid berkata:

“Ikhwan Muslimin meyakini bahawa Islam adalah agama umum yang menyusun setiap

aspek kehidupan sesuai untuk semua bangsa dan umat, pada setiap masa dan zaman.

Islam datang dengan membawa ajaran yang lebih sempurna dan tinggi dari menerangkan juziyyah kehidupan, lebih-lebih lagi dalam perkara yang bersifat keduniaan semata-mata. Islam hanya meletakkan kaedah umum (kulli) dalam aspek keduniaan ini dan menunjukkan kepada manusia kepada jalan amali untuk memperaktik dan berjalan di dalam sempadannya. Untuk menjamin kebenaran dalam praktik ini, Islam memberi perhatian penuh terhadap mengubat hati manusia. Ini adalah kerana hati merupakan sumber sistem, alat berfikir dan menggambarkan sesuatu. Islam menunjukkan kepada hati, ubat yang mujarrab yang membersihkannya dari belenggu hawa nafsu, menyucikannya dari daki-daki mencari keuntungan dan matlamat dunia, memimpinnya ke jalan yang sempurna dan mulia serta menegahnya dari kezaliman, kecuaian dan permusuhan. Apabila jiwa sudah betul dan bersih, maka setiap perkara yang lahir daripadanya adalah baik dan cantik. Sudah menjadi buah mulut orang bahawa keadilan bukannya pada nas undang-undang, tetapi pada diri hakim. Kadang-kadang ada undang-undang yang sempurna dan adil diberikan kepada hakim yang mengikut hawa nafsu dan mencari kepentingan. Lalu beliau melaksanakannya secara zalim dan tidak adil. Kadang-kadang ada undang-undang yang zalim dan mempunyai kekurangan diberikan kepada hakim yang mulia dan adil yang tidak menurut hawa nafsu dan tidak mencari keuntungan. Lalu beliau melaksanakannya secara adil, penuh kebaikan dan rahmat. Dari sini, jiwa manusia sangat diambil berat di dalam Kitab Allah. Jiwa-jiwa generasi pertama yang diwarnai oleh Islam menjadi contoh insan yang kamil. Kerana itu, tabiat Islam sesuai dengan setiap zaman dan umat dan mempunyai ruang yang luas untuk mencapai kejayaan dan keperluan manusia. Kerana itu juga Islam tidak menolak sama sekali untuk mengambil faedah dari setiap peraturan yang baik yang tidak bercanggah dengan kaedahnya yang menyeluruh dan dasarnya yang umum”.

Rujukan: Syarah Usul 20: Hasan Al Banna.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s